Rabu, 8 Jun 2016

Usaha calon dekati pengundi Cina

OBT
 

WALAUPUN PRK diadakan dalam bulan Ramadan, namun ia tidak sedikit pun menjejaskan aktiviti calon-calon yang bertanding.

Di Sungai Besar, bermula dari waktu pagi hingga petang, calon-calon BN, Pas dan Amanah tidak ingin melepaskan peluang untuk mendekati pengundi di situ yang rata-ratanya terdiri daripada petani, nelayan dan orang-orang kampung di kawasan sekitarnya.

Sin Chew Jit Poh ketika mengadakan tinjauan di situ mendapati calon dari Amanah, Azhar Abdul Shukur sendiri turun ke sawah bendang bagi memahami lebih dekat kehidupan golongan petani di situ.

Beliau berjanji sekiranya beliau menang dalam PRK kali ini, beliau akan berusaha meningkatkan bidang pertanian dan pelancongan di sekitar Sekinchan dan Sungai Panjang kerana kawasan ini mempunyai potensi besar sebagai kawasan pelancongan yang menarik di Selangor.

Katanya, biarpun DAP telah banyak membantunya berkempen di kawasan majoriti Cina, namun kaum-kaum lain beliau tetap tidak abaikan.

"Setiap satu undi adalah penting bagi saya. Saya akan berusaha menarik seberapa banyak sokongan daripada semua kaum di kawasan-kawasan yang saya jejaki," kata Azhar yang juga Pengerusi Amanah Sungai Besar.

Manakala calon Pas, Dr Abdul Rani Osman yang turut ditemani Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak ketinggalan untuk meraih sokongan daripada masyarakat Cina apabila mengagihkan kuih bulan dan sate kepada pengundi Cina di kampung nelayan di Sungai Besar, kelmarin.

Dalam ucapan, Abdul Hadi berkata, Islam selain menghormati kepercayaan dan adat resam kaum-kaum lain, tujuan Pas mengagihkan kuih bulan kerana mahu mengingatkan kaum Cina agar tidak lupa lambang bulan yang menjadi simbol perjuangan Pas.

Dalam mempertahankan kerusi milik BN, calonnya, Budiman Mohd Zohdi turut sibuk mengunjungi ke kawasan Cina di Sungai Besar. Melalui gerak kerja jentera pilihan raya yang menerima bantuan daripada parti komponen BN seperti MCA dan Gerakan, kempen Budiman cukup giat.

Beliau berkata, hasil kunjungan ke kawasan kampung nelayan di situ, beliau mendapati terdapat dua masalah besar yang dihadapi oleh golongan nelayan, iaitu pertama kapal nelayan kerap kali ditahan oleh pihak penguat kuasa dan kedua, kerajaan Selangor kemungkinan akan mengenakan cukai jeti terhadap nelayan yang pastinya membebankan mereka.

Budiman berjanji akan mengemukakan masalah penahanan kapal nelayan ini kepada menteri terbabit agar dapat diselesaikan secepat mungkin.

Di Kuala Kangsar, calon Pas Dr Najihatussalehah Ahmad pula tidak sunyi untuk berkempen dan yakin mampu mendapatkan sokongan daripada pengundi Cina kerana memiliki kelebihan fasih bercakap bahasa Cina, lapor China Press.

Katanya, di peringkat sekolah rendah, ayahnya menghantar beliau belajar di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chung Hwa, Parit sehingga tahun dua sebelum meneruskan ke sebuah sekolah rendah Cina kedua, iaitu Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (Cina) Chong Hwa, Simpang Empat, Semanggol sehingga tamat tahun enam.

"Saya sendiri ada nama Cina yang diberikan oleh guru ketika di sekolah rendah. Sejak dipilih Pas untuk bertanding di Kuala Kangsar, saya telah temui ramai pengundi Cina di kawasan pasar dan pasar malam.

"Masyarakat Cina memang rasa mesra apabila saya bertutur bahasa Mandarin dengan mereka. Saya berjanji akan lebih kerap menemui pengundi Cina ini untuk mengetahui lebih mendalam lagi masalah yang dihadapi mereka," katanya yang mendapat dorongan daripada ayahnya untuk menuntut ilmu di sekolah rendah Cina.

Kata Dr Najihatussalehah yang juga Ketua Muslimat Pas Perak, sepanjang kempen PRK ini, beliau tidak akan menyentuh isu hudud kerana ia lebih sesuai dibawa dan dibahaskan dalam parlimen, bukannya semasa kempen.Katanya lagi, pengundi Cina perlu faham, hukum hudud hanya dikenakan kepada umat Islam dan bukan Islam tidak terikat dengan undang-undang Islam ini.

Mengenai pertembungan empat penjuru, calon Pas ini yakin akan dipilih oleh pengundi di Kuala Kangsar dengan kemenangan tipis. Kariernya sebagai doktor perubatan di Kuala Kangsar memberikan satu lagi kelebihan kepadanya mendekati penduduk dengan lebih rapat dan mesra.


Tiada ulasan: