Sabtu, 25 Jun 2016

Hampir dua dekad tapi PKR masih gagal - Chandra Muzaffar

Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
Post Pic
 
 
PETALING JAYA: PKR gagal mencapai tahap yang lebih tinggi sebagai parti politik kerana masih terperangkap dalam agenda individu Ketua Umumnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Bekas pengasas PKR, Dr. Chandra Muzaffar berkata meskipun sudah hampir dua dekad, PKR masih fokus soal pembebasan Anwar dan dilihat gagal menjuarai isu-isu semasa dalam negara ini.
 
Malah, tindakan Anwar menulis warkah tujuh muka surat, menzahirkan kekesalannya terhadap beberapa pemimpin PKR yang padanya 'terpukau' dengan pengaruh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menunjukkan Anuar resah, betapa perjuangan untuk kebebasannya bukan lagi keutamaan parti itu, kata Chandra.   
 
Sebelum ini, beberapa pemimpin PKR, DAP serta Parti Amanah Negara (PAN) menandatangani Deklarasi Rakyat tajaan Mahathir untuk menggulingkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
 
Agenda Deklarasi Rakyat itu jauh menyimpang daripada perjuangan PKR sebelum ini untuk membebaskan Anwar yang di penjara akibat kesalahan sodomi.
 
"Dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, dan melihat kepada usia penubuhannya selama 17 tahun, PKR masih terperangkap dengan isu individu. 
 
"Sepertimana terbukti dalam surat Anwar dari penjara, dan reaksi dari rakan-rakan seperjuangan. Ini jelas menunjukkan bahawa PKR belum mencapai tahap yang lebih tinggi. Ia belum berjaya membebaskan dirinya daripada politik seorang individu. 
 
"Malah saya berani katakan, bahawa Anwar sendiri mahu PKR terus menjadikan beliau sebagai fokus. Itu yang menjadi masalah. Sebab beliau mahu nasibnya sebagai fokus, apatah lagi ketika dipenjarakan," kata Chandra dalam satu temubualnya bersama Antarapos.
 
Chandra kemudiannya mengingatkan PKR bahawa mana-mana parti politik yang berjuang untuk individu tidak akan berjaya dan tidak mampu bertahan lama.
 
"Sebuah parti politik tidak boleh maju, gagal mencapai cita-cita atau tahap yang tinggi dalam perjuangannya jika masih terikat dengan faktor seorang individu," katanya lagi.
 
Selepas Anwar dipenjarakan, nama PKR mulai merudum. Kepimpinan lemah pengganti Anwar iaitu isterinya sendiri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memburukkan lagi keadaan.
 
Azizah juga amat perlahan menyatakan responnya dalam sesuatu isu menjadikan PKR kini amat pasif dan hanya digerakkan beberapa pimpinan kanannya seperti Timbalan Presidennya, Datuk Seri mohamad Azmin Ali, Setiausaha Agungnya, Rafizi Ramli, serta Naib Presidennya, Nurul Izzah Anwar.
 
Jika corak pertadbiran dalam PKR ini berterusan, ia akan memberi kesan kepada jatuh bangun parti itu kelak.

Tiada ulasan: