Rabu, 22 Jun 2016

Dedak apa Mahathir tabur hingga ramai pemimpin pembangkang rabun?

Oleh Zainal Salleh
Post Pic
 
 
[ULASAN] Memang terasa janggal apabila ada beberapa pemimpin politik yang pada suatu ketika dahulu menjadi musuh ketat Tun Dr Mahathir Mohamad kini boleh menggabungkan diri dengan bekas diktator yang pernah mereka benci itu.
 
Mereka sanggup berkongsi pentas politik dengan Mahathir untuk meyakinkan rakyat bahawa keadaan negara kini genting dan mesti diselamatkan daripada kerakusan dan kelemahan seorang pemimpin BN – Datuk Seri Najib Razak.
 
Perihal menjatuhkan pemimpin kerajaan memang kerja pembangkang. Jatuh pemimpin berkenaan berarti parti yang diwakilinya akan lemah dan goncang. Ini mungkin mengizinkan mereka mengambil alih sebagai pemerintah.
 
Jika diimbau apa dan bagaimana buruknya layanan Mahathir ke atas mereka sebagai pembangkang, sudah tentu perubahan citarasa politik mereka agak sukar diterima akal.
 
Bagaimanapun hasrat bertuankan Mahathir tidak dikongsi oleh semua entiti politik di negara ini. Masih ada yang tidak serasi dengan langkah itu dan mahu Umno-BN ditumbangkan melalui proses pilihanraya. 
 
PAS, misalnya, menjarakkan diri dari gerakan Deklarasi Rakyat yang ditaja oleh Mahathir kerana beranggapan kempen itu tidak mengikut lunas demokrasi. 
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendirian Najib mewakili kumpulan wakil rakyat paling ramai di Dewan Rakyat dan direstui oleh Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong bagi menduduki jawatan perdana menteri.
 
Katanya, jika pendekatan petisyen dengan mengumpul tandatangan digunapakai menentukan pemimpin maka sukar menghayati demokrasi sebenar kerana ia boleh disalahguna orang berpengaruh mengkucar-kacirkan demokrasi.
 
Bagi Hadi kedudukan perdana menteri cuma boleh dibatalkan jika ia ditolak oleh partinya (Umno-Barisan Nasional) sendiri atau apabila berlaku keadaan Umno-BN hilang majoriti di Dewan Rakyat.
 
Pendirian Hadi itu nampaknya lebih beradab dan sejajar dengan amalan ‘Budaya Politik Matang dan Sejahtera’ yang menjadi pegangan PAS sejak berkelana sendirian selepas meninggalkan Pakatan Rakyat. 
 
Tun Mahathir menjadi Perdana menteri Malaysia selama 22 tahun dan sudah tentu beliau mempunyai ramai penyokong dan golongan yang ‘terhutang budi’ padanya semasa beliau berkuasa mutlak dari 1981 hingga 2003.
 
Beliau pemain catur politik terhebat di Malaysia. Bukan sahaja tempoh pemerintahannya satu rekod dalam Malaysia merdeka tetapi beliau masih mengekalkan pengaruh dalam era pasca persaraannya.
 
Beliau melantik Tun Abdullah Badawi sebagai penggantinya. Namun apabila tidak puashati prestasi Abdullah beliau menggerakkan kempen menurunkannya dan bertegas mahu Najib pula menjadi pewaris jawatan perdana menteri. 
 
Kini selepas 13 tahun bersara beliau mengepalai kempen menurunkan Najib yang dianggapnya gagal melaksanakan tanggungjawab perdana menteri melalui kempen yang dikenali sebagai Deklarasi Rakyat. 
 
Setelah gagal mempengaruhi ahli-ahli Umno menyokong aspirasi politiknya itu, beliau keluar Umno. Mahathir kemudian menggabungkan dirinya dengan parti-parti pembangkang yang berpangkalan dalam Pakatan Harapan.
 
Ramai pemimpin pembangkang teruja dengan kesempatan yang dibuka oleh Mahathir. Politikus seperti Lim Kit siang, Mohamad Sabu serta Azmin Ali melihat kehadiran semula Mahathir dalam politik nasional satu kesempatan baru.
 
Mereka memang amat perlukan seorang ikon untuk mencergaskan semula Pakatan Harapan yang ‘hidup segan mati tak mahu’ kerana perbalahan dan cemburu sesama mereka. 
 
PKR, DAP dan PAN hilang arah selepas tonggak dan simbol perpaduan mereka, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dipetisejukkan oleh mahkamah di penjara Sungai Buloh kerana jenayah sodominya.
 
Mahathir cergas semula dalam pusaran politik nasional. Usia 90 tahun bukan satu masalah baginya. Beliau tinggalkan Umno kerana bencikan Najib dan tidak mendapat sokongan Umno. Kini beliau menggerakkan petisyen menjatuhkannya.
 
Kebetulan dalam kempen Deklarasi Rakyatnya berlangsung dua pilihanraya penting. Pertama, pilihanraya negeri (PRN) Sarawak Mei lalu dan dua pilihanraya kecil (PRK) parlimen di Semenanjung bulan ini. 
 
Mahathir menyambar kesempatan ini untuk menumbangkan calon-calon BN supaya ia menjadi dalil jelas bahawa rakyat bukan sahaja tidak berkenan pada cara pemerintahan Najib malah sekaligus mahu melumpuhkan Umno-BN.
 
Keputusan PRN Sarawak mengecewakan Mahathir. BN menang 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri Sarawak. Sementara dalam PRK parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar BN menang dengan undi majoriti jauh lebih besar. 
 
Sekaligus keputusan-keputusan berkenaan membawa mesej bahawa apabila diberi pilihan, rakyat masih yakin pada kepimpinan BN dan sudah tentu termasuk pemimpin utamanya, Najib. 
 
Namun reaksi penyokong deklarasi berkenaan kelihatan kebeeratan menerima mandat rakyat itu. Mereka enggan menjarakkan diri dari pendekatan politik songsang Mahathir ini. 
 
Dua bekas naib presiden PAS, Mahfuz Omar dan Husam Musa, misalnya, masih melihat cara Mahathir itu pendekatan terbaik “membetulkan” kerajaan.
 
Sebaliknya Mahfuz memaklumkan bahawa Deklarasi Rakyat akan meneruskan 'road show' mereka ke seluruh negara selepas Aidilfitri pada Julai ini.
 
"Selepas raya ini kita akan teruskan dan buat 'roadshow' ke seluruh negara dan dia akan memasuki fasa yang ke-2," katanya.
 
 Nampaknya ahli-ahli politik pembangkang yang melihat Deklarasi itu sebagai jalan pintas untuk melakukan perubahan dalam sistem politik negara sebenarnya membelakangi pandangan majoriti rakyat.
 
Nasihat bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad serta pandangan pemerhati politik serta ramai lagi pemikir ulung, termasuk bekas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak dihiraukan.
 
Anwar dalam “Warkah dari penjaranya” mengingatkan bahawa perjuangan Deklarasi Rakyat adalah sempit jika tidak mensasarkan reformasi total dalam sistem pemerintahan negara. 
 
Sementara Tun Hamid pula menasihatkan supaya keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar wajar dijadikan iktibar oleh penggerak Deklarasi Rakyat supaya orang Melayu ‘bersatu dan bukan terus bercakaran’.
 
Beliau berkata, selaku bekas Perdana Menteri Dr Mahathir tidak seharusnya merosakkan integriti dan pencapaian yang diperoleh sepanjang hayatnya dengan memilih arah bertentangan di penghujung jalan.
 
"Janganlah menyusahkan orang untuk terus menghormati beliau. Lebih baik Dr Mahathir berehat supaya orang boleh terus menghormatinya," katanya.
 
Adakah pemimpin-pemimpin pembangkang terbabit benar-benar yakin dengan pendekatan Deklarasi Tun Mahathir? Atau, mereka sekadar melihat ia jalan pintas untuk menumbangkan BN dan mengambil alih kuasa pemerintahan?
 
Soalnya, dedak apakah yang Mahathir taburkan untuk mereka hingga rabun menilai matlamat membalas dendam politikus veteran itu terhadap Najib yang sebenarnya tidak memberi banyak manfaat kepada rakyat?
 
 

Tiada ulasan: