KUALA TERENGGANU-  Mendiang kapten pasukan T-Team, David Faramola Oniya dari Nigeria akan dikebumikan di Kuala Lumpur, demikian diputuskan oleh abang mendiang Andefaramade Oniya.


Beliau berkata keluarganya memutuskan tidak akan membawa pulang mayat adiknya ke Lagos, Nigeria dan sebaliknya memilih Kuala Lumpur sebagai lokasi pengebumian.

Katanya keputusan tersebut diambil berikutan pantang larang budaya mereka untuk orang tua tidak boleh melihat mayat orang muda termasuk urusan pengembumian.

Malah katanya, pemilihan Kuala Lumpur dibuat berikutan ia merupakan laluan utama untuk masuk ke negara ini, sekali gus memudahkan anggota keluarganya memberikan penghormatan di pusara mendiang berusia 30 tahun itu nanti.

“Bagaimanapun, kami masih melihat proses pengembumian di Kuala Lumpur, bila dan di mana akan dimaklumkan kemudian kerana kami hanya ada masa dua minggu di Malaysia,” katanya pada sidang media di pejabat T-Team di sini, hari ini.

Pada 13 Jun lepas, Faramola, pemain kelahiran Lagos itu rebah sebelum meninggalkan dunia ketika beraksi dalam perlawanan persahabatan dengan Kelantan di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Baharu.

Pemain itu disahkan meninggalkan dunia akibat komplikasi jantung. Mendiang meninggalkan balu, Lyubov Rogozina, 25, dan anak perempuan Angel, berusia lima tahun.

Sebelim ini, isteri mendiang dan anak tunggalnya sudah memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di Bilik Mayat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Baharu.

Adefaramade dan ejen pemain, Felix Ndukwu serta wakil Persatuan Bola Sepak Nigeria di Malaysia, Micheal Omojuwa tiba di sini semalam untuk menguruskan mayat Faramola.

Mengenai pampasan kepada mendiang adiknya , Adefaramade, 34, berkata mesyuarat mengenai isu itu akan disambung esok dengan pihak pengurusan T-Team.

“Sekurang-kurangnya keputusan kami ini dapat menjimatkan kos penghantaran mayat balik ke Nigeria,” katanya.

Menurutnya biarpun pengurusan T-Team membuat tawaran untuk mengembumikan mendiang di negeri ini berikutan sumbangan dan jasa Faramola membantu pasukan The Titans itu, namun beliau menegaskan keputusan Kuala Lumpur sebagai pilihan itu telah dipersetujui ahli keluarganya sebelum ini.

Difahamkan, Adefaramade dan dua rakannya itu akan dibawa oleh pihak pengurusan T-Team hari ini untuk menuntut dan menguruskan mayat di HRPZII. Untuk rekod, Faramola merupakan anak ketiga daripada enam adik beradik.