Rabu, 29 Julai 2015

Prosiding PAC siasat 1MDB tidak ditangguh – Dr Tan

 
Dr Tan Seng Giaw akan mengambil alih mempengerusikan prosiding itu bagi menggantikan Nur Jazlan yang dilantik Timbalan Menteri.


tan-seng-giaw_Nur-Jazlan_1mdb_600


PETALING JAYA: Prosiding siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap 1MDB yang dijangka dihadiri pegawai tertinggi pada Ogos ini tidak akan ditangguh.

Timbalan Pengerusi PAC, Dr. Tan Seng Giaw berkata, beliau akan mengambil alih mempengerusikan prosiding siasatan itu.

Bercakap kepada sebuah laman portal, Ahli Parlimen Kepong itu berkata, beliau akan memastikan prosiding 1MDB akan dijalankan mengikut jadual sehingga selesai.

Katanya, semua prosiding PAC yang telah dijadualkan tidak akan terjejas kerana jawatan Pengerusi akan diambil alih olehnya.

“Tidak ada sebab mengapa prosiding 1MDB perlu ditangguh.

“Sentimen rakyat yang tidak henti mahu mengetahui perkembangan siasatan 1MDB tidak akan terjejas dengan pelantikan empat anggota PAC dalam rombakan Kabinet,” katanya.

Rombakan Kabinet yang diumumkan Selasa lalu, Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed serta tiga lagi ahlinya, Datuk Seri Rizal Merican Naina Merican, Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Datuk Wilfred Madius Tangau dilantik menganggotai Kabinet.

Nur Jazlan dalam kenyataannya pada Selasa berkata, semua prosiding PAC yang diatur pada Ogos ini termasuk 1MDB akan ditangguhkan sehingga barisan PAC baru dilantik pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Tiada ulasan: