SHAZRYN MOHD. FAIZAL
Kehidupan mewahnya yang
sering menjadi perbualan sedikit pun tidak memberi sebarang kesan kepada
Rozita Che Wan. Sebaliknya, ibu kepada tiga orang cahaya mata itu lebih
selesa bersikap positif dan mahu masyarakat melihat kehidupannya itu
sebagai pembakar semangat untuk terus lebih maju. - Foto TRP/Syahirah
Roslan
KUALA LUMPUR, Barangkali pada pandangan segelintir masyarakat, untuk menjadi seorang pelakon tidak mampu untuk menjamin masa depan dengan memberikan kehidupan yang selesa dan terbaik.
Namun, bagi pelakon, penerbit dan ahli perniagaan terkenal, Rozita Che Wan,
42, dia berpendapat sebaliknya apabila dia menjelaskan bahawa menjadi
seorang pelakon juga mampu menhadiahkan sebuah kehidupan yang terjamin.
Tetapi, kata Rozita atau lebih mesra
disapa khalayak sebagai Che Ta, seseorang itu perlu bijak merancang
dengan hasil pendapatan yang diperolehi seperti mana yang telah
dilakukannya sepanjang tujuh tahun bergelar anak seni.
Dengan penuh terbuka, ibu kepada tiga
orang cahaya mata itu memberitahu dengan mudah dia memperolehi
pendapatan sebanyak RM60,000 sebulan hanya dengan menjadi seorang
pelakon sahaja.
“Itu hanya berlakon sahaja tanpa ditambah
dengan pendapatan yang diperolehi daripada iklan. Jika ditambah, saya
tidak akan menafikan bahawa jumlahnya akan menjadi lebih daripada itu.
“Saya harus akui lima tahun pertama
menjadi seorang pelakon, saya memang bekerja keras untuk mencari duit
bagi menampung kehidupan saya. Tetapi selepas tempoh, ia berlaku
sebaliknya pula apabila saya tidak lagi bekerja kerana wang,” luah
Rozita penuh jujur dalam program hlive! Apa Kata Malaysia?, malam semalam.
Pelakon drama bersiri Kiah Pekasam
berkata demikian selepas disoal oleh pengacara program berkenaan, Datuk
Aznil Haji Nawawi tentang kehidupan mewahnya yang seringkali menjadi
perhatian umum.
Menyedari bahawa bidang lakonan tidak
selama-lamanya akan menjanjikan pendapatan yang lumayan seperti mana
yang diperolehinya sekarang ini, Rozita memberitahu sedari awal dia
sudah merancang dengan membuat persediaan menceburi bidang perniagaan
demi masa depannya.
Katanya, buat masa ini dia mempunyai
perniagaan yang menjual tudung dan jubah selain menjadi penerbit program
televisyen menerusi syarikat produksinya, Padusi Pictures yang
menerbitkan program popular, Resipi Memikat Suami.
Dalam masa yang sama, isteri kepada
pelakon kacak, Zain Saidin ini secara jujur tidak mempedulikan kata-kata
orang terhadap kehidupan mewahnya seperti mana yang dapat dilihat
menerusi akaun Instagram miliknya.
Lebih-lebih lagi apabila pelakon asal
Kedah Darul Aman itu mengakui bahawa mempunyai keinginan untuk membeli
hartanah di London yang sudah diibaratkan seperti rumah keduanya.
“Niat saya bukan untuk menunjuk-nunjuk.
Sebaliknya saya mahu masyarakat untuk berasa positif dengan apa yang
mereka lihat. Hanya dengan kerja keras dan terus berusaha selain dengan
niat yang jujur serta berfikiran positif, semua itu mampu dimiliki.
“Bagi mereka yang sentiasa tidak berpuas
hati dan hanya mahu bersikap negatif, itu terpulang pada diri
masing-masing,” kata pengacara program bual bicara, Primadona itu panjang lebar tanpa selindung.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan