Rabu, 29 Julai 2015

Wan Saiful: Bagaimana dengan menteri kritikal?

MALAYSIAKINI




 
 
Tindakan kerajaan menamatkan perkhidmatan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail ketika siasatan mengenai isu membabitkan perdana menteri tidak boleh diterima, kata Ketua Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Wan Saiful Wan Jan.

Pada masa sama, Wan Saiful bertanya sama ada menteri kabinet yang lantang turut akan diketepikan kerajaan.

Dalam kenyataan dibuat sebagai reaksi kepada penguman kerajaan hari ini Wan Saiful berkata, penamatan itu menimbulkan banyak persoalan mengenai alasan di sebalik keputusan berkenaan.

"Saya maklum kemungkinan berlaku konflik kepentingan dalam peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya tetapi ia patut diselesaikan dengan perubahan sistem, bukan memecat peguam negara," katanya.

Memetik kenyataan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Ali Hamsa, Bernama hari ini melaporkan perkhidmatan Abdul Gani (kiri) ditamat atas sebab kesihatan.

Bekas hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Mohamed Apandi Ali dilantik menggantikan Abdul Gani.

Kata Wan Saiful tempoh perkhidmatan Abdul Gani sepatutnya berakhir hujung Oktober ini dan tiada sebab mengapa dia perlu ditamatkan perkhidmatannya.

Katanya, orang ramai sudah bercakap mengenai kemungkinan berlaku konspirasi terdesak untuk perdana menteri kekal dengan jawatannya.

Tindakan itu, katanya, mengukuhkan lagi teori konspirasi berkenaan dan tambah melemahkan alasan untuk Datuk Seri Najib Razak meneruskan tugas sebagai perdana menteri.

"Pemecatan Abdul Gani tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya menimbulkan lebih banyak persoalan.

"Saya kini bimbang anggota lain dalam pasukan petugas khas yang menyiasat 1MDB berada di bawah tekanan pihak atasan.

"Adakan menteri kabinet yang kritikal akan dipecat juga?" katanya.
 
 
 
 

Tiada ulasan: