Rabu, 29 Julai 2015

Rombakan kabinet untuk selamatkan diri Najib - PAS

 Oleh Shuhaniza Said

 
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PAS mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak melakukan rombakan kabinet hari ini sebagai langkah untuk menyelamatkan diri dan bukan untuk menyelamatkan negara susulan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
 
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, penyusunan semula kabinet yang menyaksikan beberapa menteri digugurkan tidak akan menyelesaikan masalah sebaliknya lebih membangkitkan kemarahan rakyat.   
 
"Suara-suara menentang mungkin boleh disenyapkan di dalam kabinet, namun ia tetap menjadi persoalan utama yang akhirnya akan mencetuskan kebangkitan rakyat. 
 
"Ditambah pula dengan isu-isu lain seperti skandal pembelian hartanah MARA, Tabung Haji, Felda Global Venture (FGV), kenaikan kos sara hidup, kenaikan tol dan sebagainya. 
 
“Rakyat sebenarnya boleh menjatuhkan hukuman ‘total’ kepada Umno dan Barisan Nasional di dalam pilihan raya umum akan datang," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Beliau juga menyifatkan pengguguran beberapa menteri daripada barisan kabinet, khususnya bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, adalah disebabkan kelantangan mereka membangkitkan persoalan berlegar di kalangan rakyat berhubung ketelusan pengurusan kewangan membabitkan wang pembayar cukai.
 
Najib hari ini mengumumkan rombakan kabinet yang menyaksikan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut digugurkan daripada senarai.
 
Selain Muhyiddin, empat orang menteri lain juga menerima nasib yang sama.
 
Mereka adalah Datuk Seri G. Palanivel (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar); Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Menteri Luar Bandar dan Wilayah): Datuk Seri Hassan Malek (Menteri Perdagangan dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Datuk Dr Ewon Ebin (Sains, Teknologi dan Inovasi).
 
Najib berkata, rombakan itu dilakukan bagi memperkukuhkan barisan jemaah Menteri dalam membantu kerajaan menghadapi cabaran menguruskan negara sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
 
Rombakan tersebut menyaksikan seramai tujuh menteri dan sembilan timbalan menteri baharu dilantik menyertai kabinet. 


Tiada ulasan: