shahbudindotcom
Jika
ada yang berasa gembira dan lega dengan pengguguran Hasan Malek
daripada kabinet, harap simpan dulu perasaan tersebut kerana nampaknya
"kebebalan" dan "kedunguan" mungkin bertambah dahsyat di kalangan
sesetengah menteri yang baru dilantik ini.
Hanya
selepas dua tiga hari dilantik semula sebagai Menteri di Jabatan
Perdana Menteri setelah digugurkan pada 2009 dulu, Azalina Othman Said
muncul yang pertama, bukan saja menunjukkan ciri-ciri pengganti kepada
Hasan Malek, malah tahapnya nampak lebih kronik lagi.
Azalina
ternyata sudah mula mengidap penyakit "ampu dan bodek tahap empat"
sehingga sanggup memberi pandangan di luar kewarasan pertimbangan akal
dan menghumban jauh ilmu serta pelajaran yang diterimanya selama ini.
Asalkan dapat ampu dan bodek, semua perkara yang lain ditolak ke tepi dan boleh dilanggar begitu saja.
Mengulas
mengenai isu wang RM2.6 bilion yang didakwa mengalir masuk ke dalam
akaun Najib yang dipercayai menjadi antara punca Muhyiddin Yassin
dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri, Azalina antara lain berkata:-
- wang sejumlah itu bukanlah suatu isu besar kerana ia adalah budi bicara orang yang memberi duit itu.
-
tiada salahnya seseorang menerima pemberian sebesar RM2.6 bilion
asalkan mendapat kebenaran penerima dan tidak menafikan hak mereka yang
patut menerimanya.
-
kalau orang derma duit pada saya suruh jaga anda semua dan simpan atas
nama saya, itu hubungan saya dengan penderma...apa salahnya?
Jika
kita hayati hujah-hujah Azalina ini, tentulah ia tiada bezanya dengan
banyak kenyataan Hasan Malek sebelum ini yang antaranya, "oleh kerana
ayam naik harga, jangan makan ayam" dan "disebabkan kurang rungutan
yang diterima kementerian, ini menunjukkan rakyat berpuas hati dengan
GST dan kenaikan harga minyak".
Hello
Azalina...cubalah guna akal sikit dan fikiradaripada manakah datangnya
duit sebanyak itu? Bukankah The Wall Street Journal mendakwa ia
berpunca daripada 1MDB? Kalau wang itu daripada 1MDB yang berhutang
sebanyak RM42 bilion, tidakkah ia merupakan wang kita semua?
Kalau
pun ada seseorang yang sanggup beri wang sebanyak RM2.6 bilion kepada
ketua sebuah kerajaan, apakah ia percuma atau derma kosong saja? Tentu
ada balasan yang diharapkan? Apa balasannya? Jual tanah? Jual maruah?
Atau jual negara?
Kalau seseorang itu bukan Perdana Menteri atau ketua kerajaan, adakah sesiapa teringin mahu memberinya wang sebesar itu?
Mengatakan
tidak salah bagi seseorang pemimpin menerima wang dan ia hanya urusan
antara penderma dan penerima, tidak syak lagi betapa malangnya kita
mempunyai pemimpin sebegini rupa. Tiada apa-apa yang rakyat boleh
harapkan daripada specis seperti ini.
Ia
memberi gambaran bahawa jika mengikut tafsiran Azalina itu bermakna
para menteri dan pemimpin kerajaan boleh mengaut seberapa banyak wang
sekali pun dan tiada sesiapa berhak mempersoalkan daripada mana wang itu
diperolehi.
Adakah
orang sanggup memberi wang dengan percuma dan tidak mengharapkan
apa-apa balasan? Kalau begitu, tutup saja SPRM dan bakulsampahkan terus
undang-undang rasuah. Pasukan petugas khas yang sedang menyiasat wang
itu dan kaitannya dengan Najib juga patut dibubarkan saja.
Jangankan
pemimpin yang bertanggungjawab kepada rakyat dan terdedah kepada unsur
rasuah dan kemungkinan menjual kepentingan negara apabila menerima wang
sebesar itu harus dipersoalkan, bahkan ibu bapa sendiri akan menyoal
jika anak mereka tiba-tiba pulang ke rumah dengan membawa dua tiga
buntil wang bersamanya.
Apabila
kita membawa sejumlah wang tunai ke bank untuk membuka akaun, katalah
jumlahnya RM500 ribu, pihak bank juga pasti akan menanyakan beberapa
soalan mengenai wang itu.
Lebih
dari itu, Bank Negara sendiri mensyaratkan pemindahan wang melebihi
jumlah RM50 juta juga mesti mendapat kebenaran dan kelulusannya.
Lebih diragui jika penerima wang itu berstatus ketua kerajaan kerana ia mungkin berkaitan rasuah, wang haram dan sebagainya.
Jadi,
di mana logiknya pemindahan sejumlah RM2.6 bilion adalah perkara biasa
dan hanya persoalan antara penderima dan penerima saja, manakala kita
sebagai rakyat dikatakan tidak berhak sama sekali mengetahuinya?
Dengan
kenyataan awal Azalina itu, bukan saja keputusan melantiknya semula
sebagai menteri suatu kesilapan setelah mengenepikan Hasan Malek, malah
membuatkan barisan kabinet ini menunjukkan kecenderungan yang semakin
jauh dari denyut nadi rakyat terbanyak.
Kesalahan yang dilakukan oleh ketua bukannya mahu diperbetulkan atau ditegur, malah disokong dan diberi rangsangan lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan