Jumaat, 31 Julai 2015

Pendidikan jadi mangsa rombakan Kabinet





Nik Nazmi



SHAH ALAM - Rombakan Kabinet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin didakwa memberi impak paling teruk kepada sektor pendidikan negara kembali menempatkan dua menteri berbeza seperti sistem lama.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, keputusan itu diambil atas perkiraan politik semata-mata bukannya mengambil kira kepentingan awam.

“Rombakan Kabinet baru-baru ini oleh Perdana Menteri telah mengundang kritikan pelbagai pihak. Ini terutamanya kerana langkah itu dibuat atas perkiraan politik semata-mata dan bukan mengambil kira kepentingan awam. Salah satu sektor yang akan menerima akibat paling teruk di dalam hal ini adalah di dalam bidang pendidikan.

“Rombakan itu telah memperlihatkan kerajaan berbalik semula kepada sistem sebelum ini dengan meletakkan dua menteri berlainan bagi Pendidikan dan Pendidikan Tinggi.

"Pelantikan Datuk Seri Mahadzir Khalid sebagai Menteri Pendidikan, menggantikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, memberi isyarat yang salah kepada rakyat yang kini begitu mengharapkan reformasi sebenar di dalam sektor pendidikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sejak beberapa tahun ini, pendidikan menjadi perdebatan hangat susulan kegagalan sistem baharu yang diaplikasi sehingga mengganggu prestasi pelajar.

Menurutnya, penstrukturan semula kementerian pendidikan akan membantutkan sebarang usaha pemulihan sistem susulan pertukaran menteri akan turut melibatkan perbezaan agenda setiap menteri itu.

“Seperti yang sedia maklum, setiap menteri yang mengambil alih portfolio pendidikan akan mengetengahkan agenda sendiri dan ketidakselarasan itulah antara sebab mengapa masalah di dalam sektor pendidikan ini berlaku. Oleh itu, setiap usaha yang telah dijalankan baru-baru ini untuk memulihkan sektor pendidikan mungkin sia-sia.

“Penstrukturan semula Kementerian Pendidikan akan mengakibatkan kekeliruan dan membantutkan sebarang usaha pemulihan, terutamanya kerana sistem yang dahulu baru sahaja ditetapkan berikutan pelantikan Kabinet tahun 2013.

“Rasanya semua sudah tahu bahawa sektor pendidikan negara ini sedang mengalami penyusutan, dan rombakan ini langsung tidak membantu dalam meningkatkan prestasinya,” katanya.

Tiada ulasan: