Selasa, 28 Julai 2015

Adakah pertelagahan dalam Umno akan cetuskan perpecahan?



Oleh V Shuman 


Pertelagahan dalaman Umno nampaknya semakin merebak, dengan orang nombor dua parti itu memberikan beberapa kenyataan serius terhadap cara beberapa isu sedang ditangani oleh kerajaan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak asing lagi dengan tindakan mempersoalkan urusan-urusan meragukan di sebalik kontroversi 1MDB. Beliau telah melakukannya sebelum ini, dan pada 26 Julai, dia melakukannya sekali lagi – secara bersungguh-sungguh.

Ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Cheras, Muhyiddin mengulangi seruan beliau supaya tindakan diambil terhadap mereka yang terbabit dengan dana itu, jika ini tidak dilakukan, "Umno dan BN akan kalah dalam pilihan raya umum akan datang."

Laporan-laporan berita memetik Muhyiddin menyuarakan beberapa kebimbangan, termasuk tentang laporan Wall Street Journal (WSJ) bahawa berbilion-bilion ringgit telah dipindahkan ke dalam akaun peribadi bosnya – Perdana Menteri Najib Razak.

Muhyiddin memberitahu perhimpunan itu bahawa selepas berita itu tersebar, beliau menghantar SMS Najib, meminta Najib untuk mengeluarkan penafian, tetapi apa yang muncul selepas itu hanyalah penafian "rasmi" dari Jabatan Perdana Menteri.

Beliau mengulangi seruannya kepada Najib dan barulah perdana menteri mengeluarkan kenyataan menafikan yang dia pernah menggunakan mana-mana dana untuk tujuan peribadi.

Persoalan masih belum terjawab sama ada dana tersebut telah disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib, dan tujuannya.

Muhyiddin juga mensasarkan rakan-rakannya dalam kabinet Husni Hanadzlah dan Abdul Rahman Dahlan, yang lantang menyokong Najib, tetapi "penjelasan mereka gagal mengurangkan keraguan orang ramai mengenai perkara itu." Oleh itu, semua laporan mengenai 1MDB perlu diumumkan kepada orang ramai, katanya.

Muhyiddin juga menggesa ahli-ahli Umno untuk menghentikan kritikan terhadap ahli veteran parti dan bekas PM, Dr Mahathir Mohamad, kerana ia hanya akan melemahkan parti.

Walaupun tidak mensasarkan mana-mana pihak tertentu melalui seruan ini, ianya mungkin Najib sendiri yang baru-baru ini kerap menyerang pengkritik No. 1 beliau, Mahathir.

Perlu diingat bahawa selama beberapa tahun, Muhyiddin telah menjawat pelbagai jawatan kementerian, termasuk sebagai menteri besar, semasa Mahathir merupakan PM. 

Muhyiddin juga, dalam satu kenyataan yang menentang pendirian kabinet beliau yang jarang-jarang dapat dilihat, menyuarakan sokongan beliau terhadap penerbitan harian perniagaan yang kini digantung The Edge, dan berkata beliau bergantung dengannya setiap hari untuk mendapatkan maklumat mengenai 1MDB.

"Orang ramai memberitahu saya yang laporan The Edge tidak betul. Jadi beritahu saya, apa yang betul," katanya.

Kenyataan Muhyiddin itu tepat pada waktunya. Ini kerana siasatan ke atas 1MDB nampaknya sudah terpesong, dengan kerani penghantar surat kini turut ditahan bagi membantu siasatan.

Apa pula selepas ini? Pembancuh teh pejabat 1MDB, dan budak-budak praktikal yang dipaksa memusnahkan dokumen-dokumen penting?

Sementara itu, ikan-ikan jerung seperti jutawan Jho Low, yang telah dikaitkan dengan dana itu dari awal-awal lagi, tidak disentuh.

Komen Muhyiddin juga menyindir Najib, yang belum lagi memberikan penjelasan yang memuaskan berkenaan 1MDB, tetapi pada masa yang sama telah menggunakan semua sumber untuk menutup mulut pengkritik dana itu.

Jadi apa yang Abdul Rahman (Dahlan) dan Husni akan lakukan sekarang? Mengenepikan pendapat Muhyiddin dan menuduhnya cuba untuk melemahkan parti?

The Malaysian Insider turut melaporkan bahawa laman-laman blog pro-Umno menuduh sekumpulan pemimpin Pemuda Umno cuba berkomplot menentang Najib.

Ini menunjukkan yang keretakan ini bukan sahaja berlaku di peringkat tertinggi parti, tetapi mungkin di 
setiap peringkat. Sejujurnya, Najib juga tidak mendapat sokongan daripada peringkat akar umbi.

Dengan semua ini sedang berlaku, adakah pemimpin-pemimpin Umno dan ahli-ahlinya akan bersatu dan membuang 'nanah' yang sedang membusuk ini – 1MDB?

Atau adakah mereka akan meletakkan kepentingan mereka sendiri di atas kepentingan parti dan berpura-pura bahawa parti itu dan negara baik-baik sahaja, dan terus mempertahankan apa yang tidak dapat dipertahankan?

Hari-hari mendatang akan mendedahkan lebih banyak jawapannya – jangan terlepas perkembangan selanjutnya.

Komen-komen dan cadangan boleh dihantar kepada penulis menerusi alamat shuman.v@hckmedia.com


1 ulasan:

Master Jaguh berkata...

bukn berpecah lagi dah ..hancusss terus ...

lagi cerita panas ... Jom Terjah !! >>> CLICK HERE !!<<<