Selasa, 28 Julai 2015

Sementara Siasatan, Hanya Pujian Kepada Najib Dianggap "Halal"

shahbudindotcom


Susulan ucapan Muhyiddin Yassin di mesyuarat perwakilan UMNO Bahagian Cheras Ahad lalu yang menyentuh banyak perkara mengenai Perdana Menteri dan 1MDB, ia kini merebak pula kepada usaha menekan kedudukan Timbalan Perdana Menteri itu.

Selain sudah digelar pengkhianat kepada Najib dan didesak berundur daripada jawatannya, beliau juga turut disekat daripada terus bercakap mengenai 1MDB dan unsur-unsur tidak baik tentang Perdana Menteri.

Laman sosial, blog pro Najib dan petugas Jabatan Hal Ehwal Khas atau Jasa, secara lantang dan terbuka menyerang dan melabelkan Timbalan Presiden UMNO itu sebagai pengkhianat dan menyusahkan parti memenangi pilihanraya akan datang.

Speaker DUN Sabah, Salleh Tun Said Keruak pula  secara terbuka meminta Muhyiddin mencontohi apa yang pernah dilakukan oleh Musa Hitam dahulu lantaran sikapnya yang dianggap tidak sebulu dan hilang kepercayaan terhadap Perdana Menteri.

Tidak mustahil langkah Salleh ini akan dituruti oleh beberapa pihak lain sebagai strategi masing-masing untuk menonjolkan diri, menambat hati dan memperolehi apa-apa yang dihajati daripada Perdana Menteri.

Dikhabarkan juga UMNO Bahagian Raub, Pahang turut membatalkan jemputan yang sudah dipersetujui kepada Muhyiddin untuk merasmikan mesyuarat perwakilan bahagiannya.

Juga tidak mustahil,  keputusan UMNO Raub ini akan diikuti oleh bahagian-bahagian lain, kononnya bagi mengelakkan kemungkinan keadaan lebih keruh dalam parti. Alahai...

Dalam masa yang sama, isu 1MDB seolah-olah sudah menjadi suatu ancaman kepada negara dan sesiapa saja yang berbicara mengenainya akan dianggap merbahaya.

Setelah Sarawak Report disekat aksesnya dan The Edge digantung permitnya kerana siri pendedahan mengenai syarikat pelaburan bermasalah itu, anggota pentadbiran kerajaan, khususnya Muhyiddin seolah-olah turut "dibisukan" daripada terus membangkitkannya kerana dianggap boleh menjejaskan keadaan negara.

Dalam kenyaaan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perdana Menteri lewat petang semalam, ia meminta semua pihak agar menunggu dengan sabar siasatan pasukan petugas khas terlebih dahulu.

Dengan ini, gambarannya ialah sementara siasatan sedang dijalankan terhadap 1MDB, tiada kritikan boleh dikeluarkan terhadap Najib mahu pun syarikat tersebut, kecuali jika ianya untuk memuji dan menyatakan sokongan saja sepertimana yang hampir setiap hari dilakukan oleh Abdul Rahman Dahlan, Shabery Cheek dan menteri-menteri yang lain.

Menyokong dan memuji Najib  serta 1MDB adalah "halal", manakala mengkritik dan mengeji pula dianggap "haram" ketika ini.

Bertitik tolak daripada semua perkembangan itu, Najib Razak juga dikatakan akan mengadakan rombakan kabinetnya dalam sehari dua ini bagi memastikan kedudukannya tidak lagi mudah diganggu-gugat, khususnya oleh Muhyiddin.

Selain beberapa menteri dikhabarkan akan digugurkan, kedudukan Muhyiddin adalah sasaran utama dalam rombakan ini. Menteri lain yang disebut-sebut turut digugurkan ialah Shafie Apdal yang dianggap tidak lagi setia kepada Najib sejak kebelakangan ini manakala Hasan Malek, Shahidan Kassim dan beberapa yang lain akan diketepikan kerana prestasi dan lebih menjadi cemuhan masyarakat.

Ada yang mengatakan beliau akan dipecat sebagai Timbalan Perdana Menteri dan digantikan dengan Ahmad Zahid Hamidi, manakala yang lain pula percaya, tiada kementerian khusus atau hanya kementerian tidak penting saja akan diberikan kepada Muhyiddin kali ini.

Najib dikatakan perlu mengambil langkah segera menyekat kemaraan langkah Muhyiddin, selain sudah cukup "berasa hati" dengan gelagat timbalannya itu selama ini. Ada yang melaporkan, di majlis jamuan Hari Raya anjuran CIMB malam tadi, kedua-duanya kelihatan tidak lagi mesra sepertimana selalu.

Cuma, adakah Najib benar-benar berani menyingkirkan atau mengurangkan kuasa timbalannya itu sedangkan beliau sendiri sedang tersepit dengan undang-undang yang sedang memburunya?

Adakah Ahmad Zahid Hamidi pula benar-benar pilihan yang berwibawa untuk mengambil alih tempat Muhyiddin dan mampu menciptakan keputusan lebih baik dalam pilihanraya akan datang?

Yang lebih sadis, bagaimana jika  setelah rombakan kabinet dilakukan, tiba-tiba pasukan petugas khas nanti mendapati pengaliran wang RM2.6 bilion ke dalam akaun Najib itu benar-benar wujud?

Siapa akan terlompat akhirnya? 
 
 

Tiada ulasan: