MALAYSIAKINI
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah mengadakan perbincangan dengan
beberapa negara untuk mengeluarkan dokumen perjalanan satu hala dalam
usaha menghantar semula pekerja asing tanpa izin pulang ke negara asal.
Menterinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata perbincangan tersebut
diadakan melalui duta negara berkenaan di Malaysia, sekali gus menangkis
salah faham yang timbul berkenaan kemasukan 1.5 juta pekerja Bangladesh
ke negara ini.
"Saya minta agar badan bukan kerajaan (NGO) atau agensi pekerjaan dapat
memahami hasrat kerajaan ini dengan tidak menyogokkan (berita) bahawa
ini adalah tambahan (kemasukan 1.5 juta warga Bangladesh) untuk bekerja
di negara ini.
"Kemasukan mereka adalah bagi menggantikan pekerja-pekerja asing yang
akan dihantar balik ke negara asal," katanya kepada pemberita ketika
menghadiri 'The 5th Annual Grand Iftar' melibatkan komuniti Palestin di
Malaysia di ibu negara semalam.
Beliau berkata demikian bagi membidas dakwaan pihak tertentu yang
beranggapan rancangan membawa masuk kira-kira 1.5 juta pekerja warga
Bangladesh ke negara ini bagi tempoh tiga tahun sebagai tidak wajar.
Ahmad Zahid berkata kemasukan mereka adalah bagi memenuhi permintaan
kekurangan pekerja di sektor pembinaan, perladangan, perkilangan dan
industri berat negara.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengarah, Pertubuhan Kebudayaan
Palestin Malaysia (PCOM), Muslim Imran berharap kerajaan Malaysia akan
menawarkan lebih banyak biasiswa kepada pelajar Palestin di sini.
Pada 2013, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menawarkan biasiswa
bernilai RM400,000 kepada 10 petugas akademik di universiti di Gaza
untuk mengikuti pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di UTM.
Program biasiswa berkenaan dimulakan sebagai maklum balas terhadap
persetujuan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk menawarkan
100 biasiswa pengajian tinggi untuk penduduk Gaza.
Selain biasiswa, Imran dalam ucapannya pada majlis itu, turut meminta
kerajaan Malaysia melanjutkan tempoh visa ketibaan untuk rakyat Palestin
dari 30 hari kepada tiga bulan.
Menurut laporan, pada tahun lepas, rakyat Palestin mempunyai kemudahan
bebas visa atau memohon visa di tempat ketibaan di 35 buah negara.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan