Dia setuju kenyataan Muhyiddin bahawa kontroversi 1MDB boleh melebarkan jurang kepercayaan terhadap UMNO.
PETALING JAYA : Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menyokong kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa kontroversi 1MDB mampu mengurangkan kepercayaan rakyat terhadap parti.
Katanya, sama seperti Muhyiddin, ahli dan pucuk pimpinan juga mahukan kebenaran serta mempunyai kewajipan untuk menjaga amanah yang diberi oleh rakyat.
“Dari amanah inilah kita warisi kuasa politik yang digunakan untuk memajukan agama, bangsa dan tanah air. Jangan sampai warisan kita tergadai begitu sahaja.
“Kita harus berani, berani kerana benar maka beranilah mencari kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebooknya.
Berhubung penggantungan akhbar The Edge, dia yang dikenali sebagai Azwan Bro berkata, tindakan itu tidak akan mengembalikan keyakinan rakyat terhadap isu dan tuduhan yang dikenakan terhadap 1MDB.
“Ya memang The Edge mengaku menipu Xavier Alexander Justo dalam mendapatkan data yang dicuri, namun kesalahan ini adalah antara dua penyangak yang mencuri antara satu sama lain.
“Ia tiada kena mengena dengan persoalan dan isu yang ditimbulkan mahupun menerangkan keadaan sebenar dalam semua transaksi 1MDB. Bagi saya biarlah siasatan oleh pihak berkuasa muktamad dan tindakan undang-undang diambil,” katanya.
Katanya, sekiranya benar semua emel dan dokumen itu telah diubah dan tuduhan yang dilemparkan adalah fitnah semata-mata, akhbar berkenaan bukan sahaja perlu digantung permitnya tetapi boleh ditutup terus dengan alasan yang kukuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan