SHAH ALAM - Selepas dibebaskan daripada penjara tahun lepas, 'Imam penjara' atau nama sebenarnya Muhammad Nafis Yaakub,20-an, kini gigih mengumpul dana untuk mendirikan sebuah madrasah tahfiz di tanah kelahirannya di Phnom Penh, Kemboja.
Bercakap kepada Sinar Online baru-baru ini, Muhammad Nafis berkata buat sementara ini dia menyewa sebuah bangunan untuk memudahkan pelajar-pelajarnya belajar.
"Sekarang ini saya usaha untuk mencari dana untuk mendirikan sebuah madrasah di Kemboja, setakat ini ada juga syarikat Malaysia yang memberi sumbangan dengan membantu saya keluarkan album untuk dana mendirikan madrasah.
"Saya usaha untuk bina sendiri, tetapi buat masa sekarang sudah ada madrasah tetapi disewa dululah, bangunan sementara...madrasah itu dinamakan Madrasah Tahfiz al-Qalam ....yang mempunyai pelajar dekat 30 orang dalam umur 16 tahun ke bawah, sementara tenaga pengajarnya adalah seramai tiga orang, dimana saya salah seorang dan dibantu oleh adik-adik saya.
"Manakala pelajar-pelajar ini terdiri daripada kelompok pelajar anak yatim dan keluarga yang miskin," katanya.
Dalam pada itu, Muhammad Nafis berkata sekarang dia seringkali berulang alik dari Kemboja ke Malaysia dan Brunei untuk mencari dana bagi membina madrasah tersebut.
"Sekarang saya ke Malaysia dan Brunei untuk mencari dana untuk mendirikan madrasah, keluarkan album bacaan al-Quran.
"Untuk pembinaan madrasah itu dalam kiranya tapak sudah ada dan saya memerlukan kira-kira RM 300,000 paling kurang untuk membiayai projek tersebut.
"Nanti kalau dana sudah cukup, insyaALLAH dalam setengah tahun siap dibina," katanya.
Manakala ketika ditanya tentang silibus pengajian di madrasah tersebut, Muhammad Nafis berkata pengajian di madrasah itu bukan hanya tertakluk kepada pengajian al-Quran semata-mata sebaliknya turut melibatkan pengajian hadis dan ilmu-ilmu agama yang lain.
"Apabila madrasah itu sudah siap kami sasarkan dalam 100-200 pengambilan pelajar...insya-ALLAH niat saya untuk menyediakan pengajian percuma kepada anak-anak ini," katanya.
Katanya lagi oleh itu bagi sesiapa yang ingin membantu untuk bersama-sama mendirikan madrasah ini bolehlah menghubungi dia sendiri ditalian +6737260690 atau +6738996496 atau boleh hubungi talian 0139331810 (Puan Lina).
Terdahulu, Muhammad Nafis , pernah menjadi viral pada ramadhan tahun lepas, apabila videonya mengalunkan bacaan al-Quran disebalik tirai besi mendapat perhatian ramai, dia ditahan akhir Jun tahun lalu dan dihantar ke Penjara Machang selepas Mahkamah Majistret Kota Bharu menjatuhkan hukuman penjara enam bulan kerana kesalahan tinggal di negara ini melebihi tempoh sah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan