SHAH ALAM: Semua pihak harus duduk bersama dan membincangkan kemelut
yang dihadapi negara ketika ini bersabit dakwaan sebuah akhbar terhadap
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, kata Presiden PKR, Datuk Seri
Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Tindakan itu penting bagi menterjemahkan keprihatinan rakyat terhadap
kredibiliti Najib yang kini dipertikai banyak pihak, katanya.
"Perkembangan politik terkini tanah air meletakkan kita di beberapa
senario baru yang mungkin belum pernah kita alami dalam sejarah negara
setakat ini," katanya menerusi kenyataan medianya, hari ini.
Akhbar Wall Street Journal (WSJ) sebelum ini mendedahkan terdapat
beberapa dokumen yang jelas menunjukkan wujudnya konspirasi ekonomi
melibatkan Najib apabila sejumlah dana awam bernilai RM700 juta
dimasukkan ke akaun peribadinya secara terus.
Mengulas perkara itu, Azizah yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu
berkata dakwaan itu tampak relevan apabila Peguam Negara Tan Sri Gani
Patail sendiri mengesahkan beliau sudahpun melihat dokumen sama dipetik
WSJ.
"Kegusaran di kalangan rakyat Malaysia akibat perkembangan terkini ini
tidak memungkinkan PKR dan parti pembangkang malah di kalangan Umno - BN
terus berdiam diri.
"Walaupun kita menanti laporan penuh mengenai kes ini dari semua agensi
kerajaan yang bertanggungjawab, namun kita perlu bersedia menghadapi
sebarang kemungkinan demi memastikan kepentingan rakyat dan negara
terjamin," katanya.
Tambah Azizah, beliau akan mengadakan pertemuan itu pada 7 Julai di bangunan Parlimen.
Setakat ini tiada mana-mana pihak mengumumkan penyertaan mereka dalam perjumpaan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan