Isnin, 6 Julai 2015

PAS tidak pernah pandang rendah pada siapa-siapa

 Oleh Sharifah Azmawati Syed Abdul Aziz

 
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: PAS tidak pernah memandang rendah kepada mana-mana ahlinya yang berhasrat mahu menubuhkan parti baru, demikian ditegaskan oleh Naib Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
 
Bagaimanapun Tuan Ibrahim mempersoalkan apakah keperluan untuk penubuhan parti baru tersebut memandangkan parti yang sedia ada sudah memadai untuk memperjuangkan hak rakyat.
 
"Kita pun melihat soal-soalnya sebahagian daripada mereka ini sebenarnya masih ahli PAS dan kita berharap mereka berbicara dalam konteks mereka ini masih ahli dan bagi kita, kita tidak pernah pandang rendah kepada siapa-siapa pun.
 
"Cuma kita lihat apa keperluan untuk menubuhkan parti baru dan sebagainya dan bagi PAS kalau sekiranya hendak menghadapi cabaran-cabaran yang ada, saya fikir parti pembangkang yang ada hari ini sudah memadai.
 
"Soalnya kita perlu meneliti dasar-dasar dan prinsip parti dan harus menghormati dasar tersebut," katanya kepada Antarapos ketika dihubungi di sini pada Ahad.
 
Beliau mengulas kenyataan Yang DiPertua PAS Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang memberi peringatan kepada pemimpin parti itu supaya tidak memandang rendah atau bersikap pesimis dengan kewujudan parti baru.
 
Mahfuz selain itu mengingatkan pemimpin PAS supaya tidak meletakkan pemikiran mereka pada takuk yang lama apabila dilihat sentiasa terikat dengan sejarah lalu bersabit penubuhan parti serpihan.
 
Ujarnya, kebanyakan pemimpin PAS kerap kali menyamakan cadangan penubuhan parti baru itu sama seperti Hamim dan Berjasa, yang tidak kekal lama dalam arena politik negara.
 
Susulan kelantangan Mahfuz menasihati pemimpin PAS, Tuan Ibrahim yang juga merupakan Ahli Majlis Syura Ulama turut meminta supaya bekas Ketua Penerangan PAS Pusat itu memahami tujuan dan dasar parti itu ditubuhkan.
 
"Kita tahu sebagai orang Islam, ada kewajipan terpaksa kita ambil dan kewajipan itu tidak pula mengancam polimik.
 
"Contohnya isu Enakmen Jenayah Syariah Kelantan, ianya hanya melibatkan orang Islam dan hak orang Islam, dia tidak melibatkan mereka yang bukan Islam dan masyarakat lain, jadi kita fikir itu adalah diantara ruang yang kita sebut bahawa setiap parti itu ada polisinya sendiri dan polisi itu tidak pernah padam dan menganggu hak beragama orang lain.
 
"Jadi sekiranya kita menyekat hak beragama dalam pakatan sebagai contoh, maka itu baru dikatakan kita sudah mencabuli dasar dan polisi parti lain," katanya lagi.
 
Sehubungan dengan itu, Tuan Ibrahim menasihatkan supaya Mahfuz dan kumpulan yang mahu menubuhkan parti baru tidak tersasar dari landasan dan tanggungjawab sebagai orang Islam.
 
"Jadi pada kita, tanggungjawab kita sebagai orang Islam, ada hak yang mesti kita pikul dan kita hanya memperjuangkan hak kita, jadi saya fikir semua orang Islam faham dan tahu tanggungjawab dia," katanya.
 
PAS tidak mulakan dulu menyerang individu
 
Dalam pada itu, Tuan Ibrahim turut mengingatkan supaya tidak meletakkan segala kesalahan di atas bahu presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
 
Jelasnya, pemimpin PAS tidak pernah memulakan dahulu serangan ke atas individu sebaliknya meminta supaya pemimpin utama daripada rakan komponennya, DAP dan PKR saling hormat-menghormati di antara satu sama lain apabila memperjuangkan dasar polisi parti masing-masing.
 
"Saya melihat kepada sikap hormat-menghormati sebagai asas dalam muafakat, kalau saling hormat-menghormati itu timbul dan kita tidak menyerang satu sama lain, maka kita akan jumpa satu titik persamaan.
 
"Dan PAS hendak menegaskan sekali lagi bahawa kita tidak pernah memandang kecil kepada mana-mana kumpulan atau parti, cuma jika hendak tubuh parti, ke arah mana ianya hendak tuju? Dan ianya akan menimbulkan polimik dan menyebabkan sebarang penubuhan parti baru, dia akan menggembirakan UMNO sahaja dan akan menyebabkan pembangkang pecah dan perpecahan pembangkang ini akan menyebabkan UMNO lebih selesa," katanya.
 
Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai reaksi kepada tuntutan Mahfuz yang mahukan Hadi Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Setiausaha Agung PKR, Lim Guan Eng merendahkan ego dan perlu berjiwa besar.
 
 

Tiada ulasan: