Menyorot insiden rampasan kuasa Perak
Oleh MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR
PILIHAN Raya Umum ke 12 (PRU12) pada tahun 2008 telah menukilkan satu episod sejarah dalam landskap politik Malaysia apabila cengkaman penguasaan BN telah berjaya dirobek.
Perak adalah antara negeri yang BN gagal mendapatkan majoriti untuk menubuhkan kerajaan, pada ketika itu PAS, KeADILan dan DAP bergerak secara solo.
Harapan baru terjelma apabila PAS, KeADILan dan DAP akan berjaya membentuk kerajaan baharu jika bermuafakat bersama. Suasana pada ketika itu sangat mendebarkan serta ditunggu-tinggu oleh rakyat negeri Perak khasnya adakah akan terbentuk satuk kerajaan baharu untuk memerintah negeri itu.
PAS ternyata sangat tertekan pada saat itu dalam membuat keputusan sama ada akan bermuafakat bersama KeADILan dan DAP ataupun tidak. Dalam masa yang sama, Umno sentiasa memikat dan menghimpit PAS dengan momokan perpaduan ummah.
Namun PAS di bawah pimpinan Ustaz Ahmad Awang selaku Pesuruhjaya PAS Perak pada ketika itu telah membuat satu keputusan besar iaitu bermuafakat bersama dua lagi parti untuk membentuk kerajaan.
Bukan mudah untuk PAS membuat keputusan itu, namun dengan memikirkan maslahat yang lebih besar, PAS telah bersetuju untuk bersama KeADILAN dan DAP walaupun ketika mengharungi pilihan raya, masing-masing bergerak secara bersendirian tanpa terikat antara satu sama lain.
Maka, satu lembaran baharu bagi rakyat Malaysia serta landskap politik negara dengan tertubuhnya permuafakatan politik yang diberi nama Pakatan Rakyat.
Seterusnya Kedah, Pulau Pinang dan Selangor telah mengikut jejak Pakatan Rakyat di Perak untuk membentuk kerajaan campuran.
Apabila persetujuan bersama telah termeterai, maka pemilihan menteri besar telah dilakukan dan Sultan Perak pada ketika itu bertitah agar ketiga-tiga parti menghantar nama calon menteri besar.
Satu kejutan besar berlaku apabila Almarhum Sultan Azlan Shah memperkenan Ir Mohammad Nizar Jamaluddin (kini Dato’ Seri) daripada PAS untuk menjadi menteri besar walaupun parti Islam itu memperoleh kerusi paling sedikit.
Selepas Mohammad Nizar ditabalkan sebagai menteri besar, Pakatan Rakyat telah mengorak langkah merangka polisi pentadbiran berteraskan mentadbir cekap, mesra dan beramah.
Mohammad Nizar telah berjaya memperkenalkan pelbagai idea-idea baru yang memberi manfaat kepada rakyat termasuklah pemberian air percuma, pengurniaan hak milik tanah kepada orang Melayu, India dan Cina, dan sebagainya.
Perubahan pengurusan pentadbiran negeri ternyata sangat dirasai oleh seluruh rakyat yang melihat kerajaan yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat lebih berintegriti dan mengutamakan marhaen tanpa menindas manamana kelompok.
Ku sangka hujan hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Suasana aman harmoni negeri dengan pentadbiran baharu tiba-tiba dikejutkan dengan kehilangan tiga orang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) iaitu Hee Yit Foong (DAP-Jelapang), Jamaluddin Mohd Radzi (KeADILan- Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (KeADILan- Changkat Jering).
Tiba-tiba mereka muncul dalam satu sidang media bersama Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Dato’ Sri Najib Razak (kini Perdana Menteri) dengan mengumumkan keluar daripada parti dan menjadi Adun bebas yang menyokong BN, maka bermulalah episod hitam demokrasi di negara ini.
Kerajaan yang telah diberi mandat secara demokrasi oleh rakyat telah dijatuhkan secara tidak demokratik serta tidak bertamadun.
Ia secara tidak langsung menzahirkan bahawa BN tidak menghormati serta mengkhianati mandat rakyat yang telah memberi sokongan kepada Pakatan Rakyat untuk mentadbir negara.
Pada saat itu, rakyat Perak telah bangkit dengan kesedaran sendiri menyatakan ketidakpuashatian mereka terhadap kebobrokan yang dilakukan BN.
Berlaku siri-siri bantahan daripada rakyat sebagai isyarat bahawa tindakan yang dilakukan itu tidak direstui.
Kemuncak bantahan Kemuncak bantahan rakyat Perak adalah ketika majlis angkat sumpah Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar menggantikan Mohammad Nizar di Istana Iskandariah, Bukit Chandan Kuala Kangsar menyaksikan ribuan rakyat perak berhimpun menyatakan bantahan.
Kehadiran yang sangat ramai membuktikan momentum amarah rakyat tidak terkawal hingga berlaku beberapa insiden yang tidak diingini. Tidak dapat dinafikan pada ketika itu suasana begitu kecoh dengan insiden yang tidak sepatutnya berlaku termasuklah baring di atas jalan.
Namun begitu, amarah yang dizahirkan itu perlu dihormati serta difahami kerana mereka berperilaku sedemikian setelah hak mereka dicabuli secara tidak bertamadun oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
Lantaran daripada suasana itu, polis telah menahan seramai 13 orang daripada ribuan yang hadir dan salah seorangnya adalah seorang wanita yang bekerja sebagai tukang sapu di Masjid Ubudiah berhampiran istana itu.
Ada daripada mereka adalah jurugambar yang hadir untuk merakam potret bersejarah.
Walaupun pada hakikatnya, ke semua mereka bukanlah yang telah mencetuskan provokasi sebaliknya hanya menjadi mangsa keadaan akibat keadaan yang tidak terkawal itu.
Jika diteliti video yang dirakam dengan penuh tekun, ada daripada tertuduh telah memainkan peranan untuk mengawal daripada berlakunya ketegangan.
Nah! ini membuktikan mereka yang ditangkap itu hanya mangsa kepada keadaan, bukanlah anggapan umum bahawa mereka adalah pencetus kekacauan.
Keadaan politik di Perak telah reda tetapi 13 orang tertuduh itu terus dihantui dengan sabitan yang dikenakan ke atas mereka, walaupun menganggap mereka tidak bersalah tetapi tetap komited memberi kerjasama dengan pihak polis.
Ke semua orang kena tahan (OKT) atau digelar orang kena zalim (OKZ) itu tidak sesekali cuba untuk melarikan diri sebaliknya sentiasa hadir di sepanjang tempoh perbicaraan di Mahkamah Sesyen.
Mereka terus istiqamah menjadi wakil kepada suara amarah rakyat terhadap kebobrokan, tanpa rasa putus asa mereka terus melalui proses mahkamah walaupun tidak lagi mendapat sokongan mahupun perhatian umum disebabkan suhu amarah semakin melebur.
Pada 13 September 2013, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar telah menjatuhkan hukuman penjara dua tahun serta denda RM5,000 kepada mereka dan hukuman tersebut berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan tersebut sangat mengejutkan hingga menyebabkan masyarakat khususnya rakyat Perak mengingati kembali insiden hitam yang berlaku di negeri itu.
Sebelum itu rakyat seolah-olah lupa akan kedurjanaan yang berlaku hingga 13 orang itu disabitkan seterusnya dijatuhkan hukuman penjara.
Namun begitu selepas beberapa hari disumbat di dalam Penjara Tapah, mereka telah dibebaskan apabila Hakim Mahkamah Tinggi Taiping menerima permohonan peguambela untuk menangguhkan hukuman tersebut sementara menunggu proses rayuan.
Sinar kegembiraan berjaya dilakar pada tarikh 27 Jun 2014 apabila peguam PAS yang diketuai oleh Asmuni Awi dalam mitigasi telah meyakinkan Hakim untuk mengetepikan hukuman penjara yang disabitkan sebelum itu.
Seolah-olah masih tidak berpuas hati, kes tersebut telah dibawa ke Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam usaha menyabitkan mereka dengan kesalahan mengikut Seksyen 145 Kanun Keseksaan dan mereka akhirnya telah dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan pada 18 Mac lalu dan hukumannya dijalankan serta-merta.
Maka sekali lagi keputusan ini telah menggerakkan lagi rakyat yang seolah-olah lupa akan peristiwa bersejarah itu. Masing-masing telah menyatakan solidariti dan kekecewaan mereka terhadap hukuman yang dijatuhkan.
Tidak ada lagi ruang serta peluang untuk memperjuangkan keadilan ke atas mereka melainkan menunjukan kebersamaan dan solidariti. Jika diratapi, hukuman yang dijatuhkan ini tepat pada masanya iaitu ketika pemimpin sedang asyik berikhtilaf sesama sendiri.
Mereka seolah-olah dihadirkan oleh Allah untuk mengingatkan para pimpinan agar tidak bergocah antara satu sama lain sebaliknya bergerak dalam satu pasukan menuju matlamat yang sama.
Hukuman yang dijatuhkan ke atas 13 pejuang itu perlu diinsafi oleh para pimpinan untuk memuhasabah kembali pengorbanan yang dilakukan oleh para penyokong yang ikhlas berjuang mengetepikan kepentingan tertentu.
13 OKZ terkurung di tirai besi
Hukuman ini pasti disambut dengan hiba oleh seluruh masyarakat khusunya di negeri Perak dan khasnya para peserta yang menyertai demonstrasi itu.
Ia seharusnya menjadi pelopor kepada kebangkitan rakyat agar terus komited untuk berjuang menentang pemerintah yang telah melakukan kebobrokan terhadap demokrasi di dalam negara ini.
Para pendokong perjuangan Pakatan Rakyat khususnya PAS perlu menjadikan hukuman yang dijatuhkan itu sebagai tonik serta semangat untuk mereka terus beristiqamah berjuang dalam usaha mendapatkan kembali tampuk pemerintahan di negeri Perak.
13 orang hero rakyat Perak itu sedang beruzlah di dalam hotel besi dan yakinlah hasil daripada tarbiyah itu, apabila dibebaskan nanti, mereka akan menjadi pejuang yang hebat.
Ayuh, kita teruskan perjuangan dengan memfokuskan kepada musuh utama, antara kita perlu berlapang dada serta menghormati antara satu sama lain.
Jadikan hukuman ke atas 13 orang pejuang itu sebagai dorongan untuk kita terus istiqamah berjuang menentang kezaliman BN khususnya Umno.
Semoga wira kita tenang dan kuat di dalam penjara sebagai seorang pejuang, bukan petualang!
Bad Latif Mansor, 48; Suhana Abdullah, 50; Mohd Faiz Mohd Arshad, 27; Zulhaizam Zulkifli, 30; Isha Riduan Ishak, 60; Adi Hilmee Mohd Nasir, 45; Mohamad Nazeer Hameed, 49; Khairul Azmi Hassan Basri, 49; Mohd Hasri Ismail, 49; Mohamed Ismail S M Abdul Kadir, 48; Idris Mohd Thaib, 49; Meor Safizal Meor Mohamed Amin, 40; dan Yusoff Jaafar, 49 akan terus terpahat dalam sanubari rakyat Malaysia sebagai hero dan pejuang rakyat!
1 ulasan:
RENUNG2KAH LAH AKAN KEZALIMAN UMNO,NI KE YG NIK AMAR LAKNATULLAH TU NAK BERBAIK NGAN UMNO,AKU DOAKAN AGAR PUAK UG NI BIAR PI MELINGKUP CEPAT....AKU DAH TAK KISAH NGAN UMNO LAGI,PADA AKU UMNO DULU KINI DAN SELAMA2NYA TETAP[ ZALIM,TAPI YG PUAK2 UG DLM PAS NI,APA LE PUNYA MANUSIA KAU ORG NI,GAYA2 M CM BERTARAF ULAMAK AKAN TETAPI PERTANGAI KAU ORG MEMANG SIAL DAN SESIAL2 MANUSIA....PI MAMP[OS LE KAU ORG NI PUAK2 UG SIAL.....PERANGAI KAU MEMANG SIAL,HARAPKAN SERBAN JUBASH JE...TAPI MCM LAKNATULLAH PERANGAIKAU ORG....MEMANG SIAL NASIB MAK BAPAK YG DAPAT ANAK MCM KAU ORG NI...U.G. SIAAAAALLLLLLL
Catat Ulasan