Ahad, 8 Februari 2015

“Tunku bangsawan, saya murbawan…UMNO belum bayar sajak saya”

pak_samad

Roketkini.com


KUALA LUMPUR: Kenangan Datuk A Samad Said terhadap negarawan Tunku Abdul Rahman lebih menjurus kepada kisah-kisah pahit manis serta sikap pimpinan UMNO yang masih di takok lama.

Sasterawan Negara itu yang mesra dengan panggilan Pak Samad mengenang pertemuannya bersama Tunku pada tahun-tahun 1950-an, dalam forum meraikan tarikh lahir yang sama untuk kedua-dua tokoh nasional itu di sini petang tadi.

Tarikh lahir dua tokoh itu jatuh pada 8 Februari walaupun tahun berlainan;

Pak Samad pada 1932 manakala Tunku Abdul Rahman pada 1903. Roketkini.com yang mewakili DAP mengambil kesempatan ini untuk meraikannya dalam forum ‘Tunku dan Pak Samad; Mengenang Negarawan, Meraikan Sasterawan’.

“Perbezaan saya dengan Tunku ialah dia bangsawan, saya ini murbawan.

“Tunku belajar di London, di luar negeri. Saya pula belajar di Singapura, di dalam negeri (sewaktu Singapura dan Malaya di bawah pentadbiran British).

“Dia kuasawan manakala saya sasterawan,” ujar Pak Samad, membandingkan dirinya dengan Bapa Kemerdekaan dari golongan bangsawan itu.

Pak Samad kini dikenali sebagai Sasterawan Rakyat apabila beliau memilih untuk berjuang menentang dasar-dasar kerajaan yang dilihat zalim dan tidak mencerminkan Malaysia yang satu waktu dahulu sangat harmoni dan saling menghormati.

Beliau memilih untuk bersama dengan Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) walaupun diganggu-gugat oleh kumpulan-kumpulan pro-BN serta daripada pihak berkuasa sendiri.

Pak Samad juga pernah menyatakan bahawa beliau tidak keberatan jika gelaran ‘Sasterawan Negara’ ditarik balik dari dirinya kerana dilihat melawan kerajaan. Di sesetengah kalangan manusia, beliau yang sudah berusia 83 tahun itu kini dianggap seolah-olah musuh negara.

Dalam ucapannya hari ini, beliau menghimbau kembali kemesraan Tunku ketika beberapa kali pertemuannya ketika menjadi wartawan pada tahun-tahun 1950-an dan 1960-an, termasuk sewaktu Tunku “membantu” menghilangkan gagap bercakap pada usia mudanya.

“Tunku pernah tegur saya ketika saya menjadi wartawan dulu. Bila saya bertanya soalan, saya ‘stammer’, jadi dia kata ‘Samad, cakap Samad, kenapa tak cakap. Cakap ini, ayat tu sama, hurufnya pun sama, cuma perlahan bila bercakap’.

“Untuk itu saya berterima kasih kepada Tunku Abdul Rahman,” ujar Pak Samad disambut ketawa hadirin.

Sindirannya terhadap UMNO turut membawa hadirin menyedari bahawa masih ada sifat parti pemerintah itu yang tidak pernah berubah, khususnya dalam satu majlis di mana pimpinan UMNO menjemput Pak Samad ke Alor Setar, Kedah untuk deklamasi puisi hari jadi Tunku Abdul Rahman.
Selepas membacakan sajak yang ditulis dan dideklamasikan itu, beliau mengakhiri ucapannya hari ini dengan berkata:

“Dulu saya rapat dengan UMNO (senyum)…mereka menjanjikan RM3,000 untuk saya tulis dan deklamasi sajak untuk Tunku.

“Namun, sehingga ke hari ini saya tak pernah mendapat bayaran dari UMNO,” ujarnya disambut dengan ketawa hadirin, walaupun tidak dapat dipastikan sama ada beliau berseloroh atau benar-benar serius dalam senyumannya. – Roketkini.com

Tiada ulasan: