PAS dan Kelantan kehilangan pemimpin mereka yang paling berpengaruh, apabila Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghembuskan nafasnya yang terakhir pada umur 84 pada jam 9.45 malam tadi di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Baru, Kelantan selepas sekian lama mengidap barah prostat Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa yang berada di rumahnya mengesahkan perkara ini
Berada
di sampingnya ialah isteri serta anaknya serta pemimpin PAS yang datang
ke rumahnya di selepas mengetahui beliau sakit tenat sejak beberapa
hari lalu.
Pemimpin DAP seperti Lim Guan Eng dan Lim Kit Siang merakamkan takziah atas pemergian Nik Aziz dalam media sosial masing-masing.
Perdana
Menteri Datuk Najib Razak berkata dalam laman Twitternya, “Saya sedih
mendengar Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat telah pulang ke rahmatullah.
Al-Fatihah.”
Beliau juga menghentikan sebentar
majlis yang dihadirinya malam ini di Kuala Lumpur untuk bersama para
hadirin mensedekahkan Al-Fatihah untuk allahyarham Nik Aziz, lapor
Bernama.
Timbalan Perdana Menteri Tan Sri
Muhyiddin Yassin turut mengucapkan takziah kepada keluarga allahyarham
Nik Aziz melalui laman Twitternya.
Nik Aziz,
Mursyidul Am PAS dan bekas menteri besar Kelantan selama 23 tahun itu
meninggalkan seorang balu Datin Tuan Sabariah Tuan Ishak dan 10 anak
termasuk Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohd Abduh.
Nik
Aziz dibawa pulang ke rumahnya dari Hospital Universiti Sains Malaysia
di Kubang Kerian, Kelantan jam 8.30 malam tadi selepas bantuan
pernafasannya dikeluarkan.
Petang tadi anaknya Nik Mohd Abduh mengesahkan bapanya dalam keadaan tidak stabil selepas doktor cuba merawat ulsernya semalam.
"Tahap kesihatan ayahanda menurun selepas doktor merawat ulsernya semalam," kata Nik Abduh dalam satu kenyataannya.
Beliau
melepaskan jawatan sebagai menteri besar Kelantan selepas Pilihan Raya
Umum ke-13 (PRU13) pada 6 Mei 2013 selepas menjadi menteri besar sejak
1990 apabila PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah menyapu bersih 43 kawasan
Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam pilihan raya berkenaan.
Selepas
melepaskan jawatannya sebagai menteri besar kepada Datuk Ahmad Yakub
walaupun menang di kerusi DUN Chempaka, kesihatan Nik Aziz semakin
merosot hingga HUSM seolah-olah menjadi rumahnya yang kedua.
Ketika
hayatnya Nik Aziz adalah orang yang paling tegas mempertahankan
kerjasama PAS dengan parti dalam Pakatan Rakyat (PR) dan menolak
sebarang idea bekerjasama dengan Umno.
Beliau
pernah memberi amaran akan meludah muka mana-mana pemimpin PAS yang mahu
membawa parti Islam itu bersama Umno ekoran pengalaman pahitnya
memimpin parti selepas ditendang daripada Barisan Nasional.
Beliau
menjadi pemimpin yang paling dihormati pemimpin PR daripada PKR dan DAP
termasuk Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dalam
banyak keadaan, Anwar akan ke Pulau Melaka, untuk berjumpa allahyarham
Nik Aziz di rumahnya ketika PR mahu membuat keputusan besar atau
menghadapi masalah hubungan antara parti dalam pakatan itu.
Beliau
juga menjadi pemimpin PAS yang berjaya mendapat kepercayaan golongan
bukan Islam di negara ini walaupun mempunyai masalah di peringkat awal
pentadbiran sebagai menteri besar Kelantan.
Antaranya
allahyarham menyokong idea orang bukan Islam boleh menggunakan kalimah
Allah kerana ia bukan hak orang Islam sahaja dengan syarat ia bukan
bertujuan tidak baik.
Nik Aziz, lahir pada 10 Januari 1931, mendapat pendidikan daripada ayahnya yang merupakan seorang guru agama.
Beliau kemudiannya menyambung pelajarannya ke Darul Uloom Deoband, Uttar Pradesh, India dalam Pengajian Bahasa Arab.
Selepas
mendapat ijazah pertama, beliau menyambung pelajaran ke Universiti
Al-Azhar di Mesir dan mendapat sarjana dalam Siasah Syariah.
Selepas
pulang ke tanah air beliau menjadi guru agama dan mula menyertai
pilihan raya pertama pada 1967 di kerusi Parlimen Kelantan Hilir selepas
menyertai PAS pada tahun sama. Beliau kekal di kerusi itu (yang
kemudian ditukar namanya kepada Pengkalan Chepa) sehingga 1986.
Allahyarham
dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan pada 1978 selepas PAS kalah
di Kelantan. Selepas itu beliau mula mempunyai masalah dengan Presiden
PAS Tan Sri Asri Muda yang kemudiannya meletakkan jawatan pada tahun
sama.
Beliau mula bertanding kerusi DUN pada 1986. Selepas PAS menang di Kelantan pada 1990, beliau dilantik sebagai menteri besar.
Beliau
kemudiannya dilantik sebagai mursyidul am, pemimpin tertinggi PAS pada
1991 bagi menggantikan Yusof Rawa sehinggalah ke akhir hayatnya.
Hari
ini, negara amnya dan Kelantan khasnya, kehilangan seorang tokoh yang
sukar dicari ganti, terutama dalam PAS selepas kematian presidennya
allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor.
|
Jumaat, 13 Februari 2015
Terkini: Al-Fatihah :Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat Meninggal Dunia
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan