MALAYSIAKINI
Pemuda Umno berpendapat Barisan Nasional (BN) tidak perlu bertanding di
kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka bagi memberi fokus kepada
proses pemulihan banjir di kawasan Kelantan Selatan dan Kelantan Tengah.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata proses pasca banjir memerlukan
kerjasama erat antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri, dan sekiranya
BN bertanding di kawasan DUN Chempaka, ia mungkin akan mengganggu proses
kerjasama itu.
Khairy berkata demikian selepas menghadiri karnival 'Walk-A-Run' yang
dianjurkan oleh Persatuan Murid-Murid Lama Kolej Tunku Kurshiah, yang
dirasmikan isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, di Pusat
Sukan Air, di Putrajaya hari ini.
Semalam, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Seri Mustapa
Mohamed juga berpendapat BN tidak perlu meletakkan calon di DUN Chempaka
sebaliknya memberi fokus kepada soal perpaduan dan pembangunan pasca
banjir.
Mengenai karnival itu, Khairy berkata ia adalah satu usaha mengumpul
dana bagi memulihkan padang Kolej Tunku Kurshiah di Bandar Enstek.
Terdahulu, Presiden Persatuan Murid-Murid Tua Kolej Tunku Kurshiah Tan
Sri Dr Rafiah Salim berkata kolej itu memerlukan RM500,000 bagi membaiki
pulih padang itu bagi menjalankan aktiviti Hari Sukan.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan