MALAYSIAKINI
Sepasang suami isteri maut digilis sebuah lori tangki apabila motosikal
yang ditunggangi mereka bergesel dengan kenderaan itu di Kilometer 35.5
Jalan Klang-Teluk Intan dekat Shah Alam semalam.
Dalam kejadian kira-kira 12.55 tengah hari, Mohd Razali Mohd Saad, 65,
berasal dari Parit 1 Barat, Sungai Besar dekat Shah Alam, dan isterinya
Jahrah Daud, 49, berasal dari Kampung Ujung Permatang, Kuala Selangor,
disahkan mati di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor Supt Mohd Taib Ahmad berkata pasangan
suami isteri berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari arah Kuala
Selangor menghala ke Klang sebelum nahas itu.
"Kedua-dua mangsa dipercayai cuba memintas lori tangki itu namun tidak
berjaya lalu bergesel dengan kenderaan itu," katanya ketika dihubungi
Bernama di Shah Alam hari ini.
Katanya susulan itu, kedua-dua mangsa terjatuh daripada motosikal
sebelum digilis lori berkenaan dan meninggal dunia akibat kecederaan
parah di seluruh anggota badan.
Beliau berkata mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Hospital Tanjung Karang dekat sini untuk bedah siasat.
Mohd Taib berkata pemandu lori tangki itu kini ditahan bagi membantu siasatan.
Sementara itu, seorang lelaki warga emas yang dilaporkan sesat di Bukit
Seremban 2 Height, di Seremban malam kelmarin ditemui dalam keadaan
selamat, awal pagi semalam.
Pegawai Bomba Kanan dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban 2, Md
Munawir Md Yusoff berkata enam anggota bomba bersama sebuah jentera
bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan pada
pukul 11.59 malam.
Difahamkan, Lim Kim Cing, 63, tercicir di belakang sewaktu menuruni
bukit tersebut bersama empat sahabatnya yang lain di kawasan itu.
"Menurut isteri mangsa, keadaan kakinya tidak begitu baik dan pergerakannya yang agak perlahan menyebabkan dia tercicir.
Anggota bomba menghadapi kesukaran untuk mencari mangsa ketika operasi
dijalankan disebabkan keadaan hutan tebal dan gelap di bukit tersebut.
"Bagaimanapun, pihak kami berjaya menemui mangsa kira-kira tiga
kilometre dari kaki bukit berkenaan pada pukul 2.30 pagi," katanya
ketika dihubungi Bernama.
Beliau berkata, Lim ditemui dalam keadaan selamat tanpa sebarang
kecederaan dan diserahkan kepada ahli keluarganya sejam kemudian.
Operasi mencari dan menyelamat mangsa turut dibantu oleh seramai lima
anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm),
katanya. - Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan