Keadaan Faris Imadi yang koma sehari sebelum meninggal dunia pada Sabtu lalu. Keadaan Faris Imadi yang koma sehari sebelum meninggal dunia pada Sabtu lalu.
 
 
KUBANG DEPU - Remaja lelaki, Faris Imadi Shafiee, 14, yang menderita bengkak paha dan kemaluan, meninggal dunia di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kota Bharu, Kelantan, kira-kira jam 4 petang Sabtu lalu.

Faris Imadi dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas kesihatannya semakin merosot sejak dimasukkan ke hospital, 15 hari lalu.

Bapanya, Shafiee Noor, 48, berkata, anaknya itu meninggal dunia di sisinya setelah koma sejak Khamis lalu ketika menjalani rawatan pakar di hospital berkenaan.

Menurut bapa tunggal ini, jenazah dibawa ke rumahnya di Kampung Baruh Kual dekat Hulu Besut kira-kira jam 7 malam hari sama sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kayu Kelat pada jam 10 malam.

“Saya reda dengan pemergiannya dan berdoa agar dapat bertemu dengannya di syurga. Kalau ikutkan memang sedih, tetapi saya relakan pemergiannya kerana tidak sanggup lihat penderitaannya menahan sakit. Saya juga tidak boleh lupa kerana sebelum koma, dia beria-ia mahu membaca Yasin sebab tidak tahan sakit.

“Sebelum koma, Faris Imadi juga ada melahirkan kebimbangan terhadap nasib kakaknya (Nur Izzah, 18) yang turut mengalami masalah bengkak sepertinya (bahagian paha dan punggung),” katanya.

Laporan Sinar Harian mengenai penderitaan remaja itu sebelum ini mendapat reaksi pelbagai pihak termasuk Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat negeri, Muhammad Pehimi Yusof dan Timbalan Pengarah Kesihatan negeri, Dr Mohamad Omar.

Sementara itu, Shafiee turut berterima kasih kepada semua pihak yang menghulurkan sumbangan kepada mereka sekeluarga selepas kisah penderitaan anaknya itu yang terlantar di rumah, tersiar dalam akhbar.