Sabtu, 14 Februari 2015

Rapatkan kembali saf, fokus musuh yang satu



Oleh ROY RASUL


LEGA.. Itu jawapan yang barangkali boleh disimpul oleh penyokong dan ahli ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat selepas mesyuarat pimpinan Pakatan, di ibu Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, 8 Februari lalu.

Dalam menterjermah keputusan penuh harmoni selepas tercapai ikatan memurnikan semula Pakatan Rakyat pencinta Pakatan Rakyat mahukan air yang keruh itu dijernih sejernih-jernihnya.

Bagi Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat ikatan yang telah terjalin semula ini diharapkan tidak akan disia-siakan serta tidak menghampakan rakyat selain hendaklah bersikap rasional ketika bertindak.
Beliau cukup optimis bahawa Pakatan akan kembali  ke landasan sebenar apabila pertemuan 8 Februari lalu dapat merungkai kemelut yang selama ini hampir menggoncang putus tali persahabatan.

Suhaizan yang turut menjadi ahli korum dalam mesyuarat tersebut menyatakan bahawa tidak ada sebab Pakatan Rakyat berpecah.

Beliau lantas mencongak dengan hanya kerana perbezaan pandangan sesama parti sekadar 10 peratus sedangkan bakinya sebanyak 90 peratus lagi berada dalam sifir persamaan pandangan.

“Kenapa kita hendak berpecah akibat daripada meninggal perkara yang lebih besar.Rakyat telah membuktikan 52 peratus undian pilihan raya umum dahalu milik Pakatan Rakyat jadi apa lagi hendak dihujahkan,” katanya

Berdasarkan pengalaman itu pemimpin atasan harus mengambil pendekataan untuk mengambil sikap kesepaduan.

Apa lagi pimpinan Pakatan Rakyat sudah berpuluh tahun berjuang dalam dunia politik.
Sepatutnya pengalaman mereka itu memperkuatkan lagi Pakatan Rakyat yang menjadi musuh ketat parti Umno-BN.

“Bagi saya mustahil Pakatan Rakyat boleh berderai di tengah jalan. Lawan kita Umno dan BN apa lagi BN hampir hancur malah pimpinannya sendiri bermasalah dengan pelbagai isu termasuk isu Altantunya.

“Ini peluang kita takkan dengan peluang terbentang luas di hadapan mata begitu senang hendak pecahkan pula,” katanya.

Malah secara jujur beliau menyatakan mood rakyat sangat hampa dengan perbalahan yang terjadi sebelum ini. Jawapannya, pencinta Pakatan Rakyat mengidamkan Pakatan Rakyat berada di tampuk pemerintah negara.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS, Aiman Athirah Al-Jundi menyifatkan kejayaan semua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat menemukan semula rentak kerjasama politik di antara partiparti komponen hadiah terbaik buat rakyat untuk tahun 2015 ini.

Malah dengan penuh kesyukuran semua orang mengharapkan agar kerjasama terus diperkukuhkan dengan semangat “saling faham memahami, saling hormat menghormati dan saling berkebajikan” di antara satu sama lain.

“Pakatan Rakyat Harapan Baru Untuk Malaysia,” itu yang ditegasnya

Rakyat sudah pun memberi mandat besar kepada Pakatan Rakyat dalam PRU13 yang lepas.

Bahkan memberi kepercayaan penuh untuk menjadi kerajaan di peringkat Persekutuan dan kerajaan negeri.Cuma dakwanya, sistem yang ada di Malaysia iaitu “past the post” menjadikan membuat Pakatan Rakyat belum berjaya membentuk kerajaan di peringkat pusat.

Namun, dirinya yakin PRU14 sangat cerah untuk Pakatan Rakyat menang.Dalam masa sama tegasnya, bergantung kepada kebijaksanaan semua khususnya pimpinan-pimpinan utama Pakatan Rakyat merangka pelan kemenangan ini tanpa meminggirkan rakan parti sama ada dalam Pakatan Rakyat mahupun kalangan NGO dan Third Force yang mesra Pakatan Rakyat.

Semuanya mesti bergerak dan digerakkan seiring, kerana itu adalah asas. Pakatan Rakyat juga diharapkan terus menumpu kepada perkara-perkara utama yang menumpu kepada kepentingan dan kebajikan rakyat.

“Saya harap keupayaan ekonomi dan taraf hidup rakyat mesti diberikan perhatian,” ujarnya.

Mengangkat semula ekonomi negara untuk memasti kebajikan masa depan rakyat lebih sejahtera perlu digerakkan seiring.Mulai sekarang beliau mengharapkan semua pihak menghalakan fokus kritikan dan membongkar segala kepincangan pentadbiran berterusan yang dilakukan pihak Umno BN.

Serangan kepada satu sama lain di dalam Pakatan Rakyat secara terbuka dan wewenang mesti dihentikan.

“Cabar mencabar sesama tidak akan memberi apa pun kebaikan malah pihak musuh akan ambil kesempatan,” katanya.

Amalan perbincangan hatta perdebatan berdasarkan hujah mesti diamalkan dalam konteks meja mesyuarat atau perbincangan tertutup di antara parti.

Sementara itu bagi Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh keputusan yang dibuat secara bersama itu tekad pimpinan Pakatan Rakyat untuk mengukuhkan permuafakatan. Ini juga membuktikan harapan rakyat terletak kepada Pakatan Rakyat.

Betapa pentingnya kefahaman dilakarkan ketiga-tiga parti iaitu PAS, DAP dan juga PKR demi saling memahami.Pada masa sama sarannya, semua pihak perlu duduk berbincang dalam isu-isu yang mungkin dihadapi rakyat khususnya isu-isu perbezaan pendapat di antara ketiga-tiga parti.

“Pada saya, ini satu titik tolak untuk mulakan pergerakan semula kerjasama di antara tiga parti,” katanya.

Buktikan kepada rakyat bahawa apa yang dibawa atau digagaskan itu benar-benar boleh menjadi penyelesaian kepada ekonomi, masalah hubungan antara kaum dan juga lain masalah yang melanda negara.

Tambahan pula rakyat sudah bosan situasi yang berlaku dalam rumah tangga Pakatan Rakyat baru-baru ini.

“Ini tidak dapat disembunyi lagi rasa bosan rakyat. Jadi saya harap dengan adanya mesyuarat ini ia bukan sekadar bertemu mesra begitu sahaja.

“Tetapi secara berterus terang kita telah pun bincang secara permulaan tentang isu-isu yang kita anggap sebagai isu hangat seperti isu Enakmen Jenayah Syariah (hudud), Pilihan Raya Kerajaan Tempatan (PBT),” ujarnya.

Keputusan yang dicapai itu baginya keputusan yang peting di mana satu mesyuarat khas Majlis Kepimpinan Tertinggi juga akan membincangkan dua isu itu secara lebih tuntas.

Jadi sudah tentu sokongan selepas ini khususnya daripada ahli ketiga-tiga parti amat perlu untuk saling kerjasama, tolong menolong dalam program masingmasing dan apa yang penting berikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Pakatan Rakyat.

Perkara-perkara yang menyinggung rakan Pakatan Rakyat disarankan buat perbincangan dahulu sebelum dibawa kepada media atau antara parti sama parti.

Mengamati ingatan Penolong Bendahari Kebangsaan DAP Nga Kor Ming, ada logiknya juga. Bagi Nga Kor Ming, pimpinan Pakatan Rakyat mesti berusaha gigih untuk memulihkan keyakinan rakyat terhadap Pakatan Rakyat.

Jadi, untuk berbuat demikian Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat wajib mengadakan mesyuarat setiap bulan di mana semua pemimpin tertinggi perlu hadir untuk mencapai keputusan bersama.

Malah beliau juga mengingatkan, demi permuafakan Pakatan Rakyat semua pihak harus hormat kepada ‘buku jingga’ yang digariskan Pakatan Rakyat.

Kesemua itu supaya mana-mana dasar yang ingin dilaksanakan atau segala isu yang timbul harus mendapat persetujuan bersama ketiga-tiga pihak.

“Sesiapa pun jangan sekali-kali menjadi batu penghalang untuk mengganti Umno memimpin negara ini,” tegasnya Ini satu-satunya hasrat dan mandat daripada 52 peratus pengundi di seluruh negara dan semesti sebagai pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, janganlah kecewakan mandat rakyat.

Tiada ulasan: