Selasa, 17 Februari 2015

PKR, DAP Selangor tidak perlu terlibat dengan aktiviti PasMa

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic

 
 
SHAH ALAM: Tidak ada sebarang sebab bagi PKR dan DAP Selangor terlibat dalam sebarang program Persatuan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), demikian menurut Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Iskandar Abdul Samad.
 
Beliau menggesa rakan-rakannya di dalam Pakatan Rakyat (PR) itu menghormati pendirian PAS yang sebelum ini mengeluarkan larangan kepada ahli-ahlinya untuk tidak terlibat dan menyertai pertubuhan tersebut.
 
Menyifatkan hubungan di antara tiga parti itu kini berada dalam keadaan yang baik, Iskandar seterusnya berkata ia tidak perlu dijejaskan dengan kehadiran PasMa.
 
"Walaupun adalah hak individu masing-masing sama ada untuk terlibat atau tidak, tetapi biarlah isu PasMa ini diselesaikan oleh PAS secara dalaman.
 
"PR Selangor mempunyai tugas untuk memacu pembangunan negeri ini ke hadapan di samping memberi pembelaan kepada seluruh rakyat dan hanyalah kerjasama yang erat di kalangan parti-parti PAS, PKR dan DAP dapat menjadikan hasrat ini satu realiti," ujar Iskandar melalui kenyataan medianya.
 
Sebelum ini Presiden PasMa, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi mendakwa pertubuhan itu semakin mendapat sambutan dan sokongan atas alasan ia memberi peluang kepada akar umbi PAS meluahkan pandangan mereka yang didakwanya sebelum ini terhad.
 
Tambahnya PasMa berperanan mengisi ruang untuk ahli-ahli parti Islam itu menzahirkan isi hati mereka terhadap perkembangan politik semasa menerusi dialog-dialog yang diatur.
 
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terdahulu pernah 'mengalu-alukan' ahli-ahli PasMa meninggalkan PAS kerana wujud perbezaan pendirian.
 
'PasMa ini ibarat mereka yang menebuk kapal. Kalau rasa payah sangat pergilah ke bahtera lain yang kamu suka, yang kamu rasakan lebih cepat sampai ke destinasi'.
 
"Pergilah ke kapal DAP, kapal Parti Keadilan Rakyat (PKR), kalau nak cepat lagi ke Putrajaya pergilah ke bahtera Umno," kata Hadi yang dipetik menerusi laman sosial Facebooknya, bulan lalu.
 
PAS pada 13 Oktober lalu mengeluarkan arahan kepada seluruh ahli-ahlinya untuk tidak menyertai sebarang aktiviti yang dianjurkan.

Tiada ulasan: