mustafa ali
 
 

SHAH ALAM - Pas Pusat kini hanya menunggu laporan dan senarai nama daripada Pas Kelantan untuk menentukan calon layak bertanding di Dun Chempaka.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, senarai nama calon berpotensi akan dibincangkan mesyuarat parti itu dalam masa terdekat untuk ditapis.

“Mungkin dalam sehari dua lagi kita akan dapat senarai nama, lagi pun baru semalam (kelmarin) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) umum tarikh pengundian.

“Kita serahkan kepada Pas Kelantan kerana mereka lebih memahami situasi di sana dan pemilihan calon," katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, ditanya sama ada terdapat kemungkinan anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh yang akan menggantikan bapanya sebagai calon, Mustafa berkata, beliau tidak mendengar apa-apa berhubung perkara itu.

“Saya tidak boleh cakap apa-apa buat masa sekarang soal calon kerana kita serah kepada Pas Kelantan buat pemilihan.

“Apabila dapat senarai nama calon, kita akan bincang kemudian,” ujarnya.

PRK itu akan diadakan ekoran kematian Nik Abdul Aziz pada 12 Februari lalu akibat kanser prostat.

Pada PRU13 lalu, Nik Abdul Aziz (Pas) menewaskan calon BN, Wan Razman Wan Abd Razak dengan majoriti 6,500 undi.

Kelmarin, SPR mengumumkan PRK Dun Chempaka akan diadakan pada 22 Mac ini dan penamaan calon pada 10 Mac.