KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul
Aziz disebut-sebut diletakkan sebagai calon PAS di Pilihan Raya Kecil
DUN Chempaka yang dijadualkan pada 22 Mac nanti.
Sumber dalam PAS Kelantan memaklumkan kepada Astro AWANI, Nik Abduh
kemungkinan dipilih kerana beliau satu-satunya anak Allahyarham Nik
Abdul Aziz yang aktif dalam politik.
Nik Abduh adalah juga Ahli Parlimen Pasir Mas selepas memenangi kerusi
tersebut dalam Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu dengan mengalahkan
Datuk Ibrahim Ali.
"Siapa lagi yang nak dicalonkan di Chempaka kalau bukan Nik Abduh? Nak pilih siapa? Nak calon yang macam mana lagi?
"Ini bukan soal dia (Nik Abduh) anak Nik Aziz tetapi kerana dia memang layak untuk bertanding di situ.
"Nik Abduh calon terbaik tidak ada orang lain, kalau ada yang letak
calon lain mungkin sebab rasa Nik Abduh dah jadi ahli parlimen tak perlu
bertanding di DUN.
"Tapi itu bukan masalah, bukan satu kesalahan," kata sumber tersebut.
Selain disebut akan dinamakan sebagai calon untuk kerusi DUN Chempaka,
Nik Abduh juga dilihat berpotensi untuk menduduki kerusi Menteri Besar
Kelantan penggal akan datang.
"Kalau nak diletakkan Nik Abduh sebagai MB Kelantan penggal akan
datangpun satu kesalahan tetapi yang penting perlu bertanding di DUN,"
katanya lagi.
Pilihan raya kecil itu akan diadakan ekoran kematian penyandangnya yang
juga bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 12
Februari lalu akibat kanser prostat.
Pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu, Nik Abdul Aziz (PAS)
menewaskan calon Barisan Nasional (BN) Wan Razman Wan Abd Razak dengan
majoriti 6,500 undi.
Allahyarham mendapat 12,310 undi manakala Wan Razman memperoleh 5,810
undi. PRK DUN Chempaka adalah pilihan raya kecil kelapan diadakan
selepas PRU13 pada 5 Mei 2013.
Tujuh PRK sebelum ini adalah PRK DUN Kuala Besut, Terengganu (24 Julai
2013); PRK DUN Sungai Limau, Kedah (4 Nov 2013); PRK DUN Kajang,
Selangor (23 Mac 2014); PRK DUN Balingian, Sarawak (29 Mac 2014); PRK
Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang (25 Mei 2014); PRK Parlimen Teluk
Intan, Perak (31 Mei 2104) dan PRK DUN Pengkalan Kubor, Kelantan (25
Sept 2014).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan