MALAYSIAKINI
Konvensyen PKR yang dijadualkan pada Mac depan akan ditukar menjadi Himpunan Solidariti Anwar Ibrahim.
Naib Presiden PKR Rafizi Ramli berkata, himpunan itu diadakan bertujuan
untuk memberi penerangan dan taklimat kepada pemimpin akar umbi parti di
seluruh negara untuk melawan BN habis-habisan.
"Memang kita dah buat keputusan kita akan ubah tema konvensyen. Ia bukan
hanya soal Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi ia kerana soal lain dan
kita akan lawan BN habis-habisan.
"Dulu semasa konvensyen kita bincang tentang isu parti dan lain-lain
tetapi saya rasa sekarang tak sesuai cakap mengenai perkara itu. Lebih
baik kita buat gerak kerja untuk lawan BN. Sebab itu kita ubah tema
konvensyen jadi himpunan solidariti dan guna kesempatan itu untuk beri
taklimat dan penerangan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Selain itu, dalam kenyataan media yang dikeluarkannya, Rafizi berkata
telah membentangkan 16 program di peringkat dalam negara dan
antarabangsa sebagai gerak kerja kepada biro politik parti.
Menurut kenyataan itu lagi, pada 7 Mac depan, konvensyen dengan tema
himpunan solidariti itu akan berkumpul di Pusat Konvensyen Shah Alam
(SACC) sehingga tengah hari bagi memberi tugasan dan pengarahan kepada
akar umbi.
Kemudian, mereka akan bergerak ke pusat membeli-belah Sogo bagi
menyertai demonstrasi #KitaLawan yang dianjurkan oleh Anggota Muda PKR
(AMK) dan gabungan NGO anak muda.
"Arahan-arahan ini akan dikeluarkan ke ibu pejabat di seluruh negara
dalam masa dua, tiga hari ini. Selepas ini dengan tugasan yang khusus
dan sokongan yang lebih tersusun, kurangkan ber-WhatsApp dan lebihkan di
luar, insya-Allah itu cara terbaik kita bebaskan DSAI (Datuk Seri Anwar
Ibrahim) dan hancurkan Umno," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan