MALAYSIAKINI
Seorang bukan Islam perlu membubarkan perkahwinannya yang terdahulu
sebelum dibenarkan berdaftar sebagai mualaf di Negeri Sembilan, kata
Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Selain itu, katanya mereka juga perlu membuat akuan berkanun yang menyatakan telah memeluk Islam.
Beliau berkata dua perkara tersebut adalah antara cadangan peraturan
baharu yang akan dikuatkuasakan berkaitan mualaf dalam Enakmen
Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.
"Cadangan peraturan baharu ini akan menjadikan enakmen tersebut lebih
mantap, mengelakkan kontroversi dan paling penting sekali, Islam tidak
akan terjerumus, dihina, dikeji dan dicerca hanya disebabkan oleh
perbuatan seorang mualaf," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian
taklimat Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) kepada yang
Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku
Munawir, di Seremban, hari ini.
Mohamad, yang juga Pengerusi MAINS, berkata peraturan baharu terhadap
mualaf di negeri itu bertujuan menjaga kesucian Islam dan mempertahankan
agama itu daripada dikutuk dan dihina hanya kerana perbuatan bersifat
individu.
Katanya pembubaran perkahwinan itu perlu dilakukan sekiranya pasangan
mualaf berkenaan tidak mahu sama-sama memeluk Islam yang menjadikan
institusi perkahwinan itu tidak lagi mempunyai sebarang makna.
"Mengikut hukum Islam mereka tidak boleh lagi hidup bersama. Mahu tidak
mahu terpaksa bubar. Jika dia sudah masuk agama Islam baru hendak
bubarkan, itu yang kadang-kadang timbul masalah.
"Lebih baik dia bubarkan sebelum didaftarkan sebagai mualaf. Langkah ini
penting bagi mengelak perbuatan berebut jenazah apabila seorang mualaf
meninggal dunia," katanya.
Beliau berkata peraturan baharu itu telah mendapat perkenan Yang
Dipertuan Besar Negeri Sembilan dan ia tidak perlu dibentangkan ke Dewan
Undangan Negeri (DUN) tetapi hanya memerlukan kelulusan Majlis
Mesyuarat Kerajaan Negeri.-Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan