Isnin, 2 Februari 2015

Arul melakukan pembohongan sebagai CEO 1MDB

 
Laporan polis dibuat terhadap Arul kerana membuat kenyataan palsu.


1MDB arul2


PETALING JAYA: Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan meminta polis menyiasat Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandsamy yang disifatkannya melakukan pembohongan dalam menjalankan tugas.

Menurut beliau, tindakan CEO 1MDB telah memesongkan para peminjam yang antara lainnya Malayan Banking Berhad, RHB Bank dan beberapa pihak yang mungkin mengalami kerugian material.

Sehubungan itu satu laporan polis dibuat di Balai Polis Dang Wangi di Kuala Lumpur, petang ini yang bersandarkan kepada kenyataan di media pada 13 Januari lalu.

Dalam kenyataan itu Arul dilaporkan berkata, “1MDB mengesahkan bahawa ia kini menebus semula dana bernilai AS$2.318 billion (RM7 billion) yang dilaburkan oleh syarikat itu dalam syarikat pengurus dana berdaftar di Cayman Islands.”

Bagaimanapun menurut Khairuddin, pada 28 Januari, Bloomberg melaporkan bahawa 1MDB telah merancang untuk mendapatkan penundaan bayaran balik kali ketiga untuk pinjamannya yang berjumlah RM2billion.

Sebagai tambahan katanya, dalam memenuhi obligasi kepada bank-bank, 1MDB dilaporkan mendapatkan pinjaman sebanyak RM2 billion daripada T. Ananda Krishnan.

Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu dalam laporan polisnya juga menyatakan, Arul telah mencabul Seksyen 218 Kanun Keseksaan kerana mengeluarkan penulisan atau rekod tidak tepat dengan niat menyelamatkan seseorang daripada dihukum atau harta-benda dirampas.

CEO 1MDB itu juga didakwa melanggar Seksyen 406 Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah pecah amanah oleh seorang kakitangan terhadap harta milik yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 20 tahun dan sebat.

Tiada ulasan: