Sabtu, 17 Januari 2015

Rombakan besar di 4 akhbar jutawan balak

MALAYSIAKINI


 


Kumpulan akhbar bahasa Cina terbesar di Malaysia, Media Chinese International Limited bakal membuat pelan rombakan besar-besaran bagi menghadapi kelembapan ekonomi yang dijangka.

Sumber dalam industri menyebut, langkah ini akan memberi kesan besar kepada pasaran akhbar berbahasa Cina.

Kumpulan media yang dimiliki jutawan balak Sarawak, Tan Sri Tiong Hiew King itu memiliki empat penerbitan akhbar – Sin Chew Daily, China Press, Guang Ming Daily dan Nanyang Siang Pau.

Menurut sumber, pelan yang belum diputuskan itu mensasarkan untuk mengurangkan kos dengan perubahan strategik ke atas akhbar berkenaan bagi menangani kemerosotan hasilnya.

Kemerosotan hasil itu dikaitkan dengan pengecutan dalam pasaran pengiklanan cetak.

Sin Chew, dengan jumlah edaran paling tinggi berbanding akhbar berbahasa Cina lain, akan kekal menjadi penerbitan utama kumpulan tersebut sebagai akhbar harian nasional.

Akhbar China Press pula, menurut sumber, akan diubah menjadi akhbar petang.

Sementara itu, Nanyang Siang Pau dijangka akan diubah menjadi akhbar perniagaan dengan kekerapan tiga kali seminggu, manakala Guang Ming mungkin akan mengehadkan fokusnya kepada pasaran utara semenanjung.

Menurut sumber, pelan tersebut dirangka untuk menghapuskan persaingan di antara akhbar dalam kumpulan tersebut.

Persaingan di antara akhbar itu selama ini membantu meredakan kebimbangan orang ramai bahawa monopoli berkenaan akan menyebabkan akhbar dikawal oleh seorang jutawan.

Kebimbangan itu timbul apabila Tiong, yang telahpun memiliki akhbar Sin Chew dan Guang Ming, memperolehi akhbar Nanyang Siang Pau dan China Press daripada MCA pada 2006.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa pelan tersebut sudahpun mula dilaksanakan apabila Sin Chew dan Guang Ming menghentikan edisi petangnya tahun ini di lima negeri – Perak, Melaka, Pahang, Kelantan dan Terengganu.

Guang Ming juga dijangka akan mengurangkan atau menghentikan operasi bironya dan hanya akan mengekalkan operasi di wilayah utara untuk bersaing dengan satu lagi akhbar, Kwong Wah Yit Poh, yang popular di Pulau Pinang.

Kwong Wah Yit Poh dan Oriental Daily merupakan dua akhbar yang tidak dimiliki oleh konglomerat media Tiong.

Menurut sumber, perubahan ke atas Nanyang Siang Pau pula mungkin akan dijalankan bermula pada Mac atau April.

Malaysiakini difahamkan bahawa pihak pentadbiran tertinggi Nanyang Siang Pau memberi taklimat kepada kesatuan sekerajanya pada hari Rabu lalu namun tidak menyebut mengenai perubahan yang bakal dijalankan itu.

Pihak pengurusan memberitahu mengenai perubahan dalam tenaga kerjanya, yang memberi gambaran bahawa pengurangan kakitangan mungkin akan dijalankan ekoran prestasi kewangannya yang merosot.

Malaysiakini telah menghubungi ketua pegawai operasi Nanyang Press Holdings Bhd Group, Liew Sam Ngan dan ketua pengarang akhbar tersebut, Chong Choong Nam untuk mendapatkan reaksi namun mereka masih belum memberi maklum balas.

Sementara itu, ketua pegawai operasi Media Chinese International, Tiong Kiew Chiong enggan mengulas ketika dihubungi. Ketua pengarang Guang Ming, Poon Chau Huay juga enggan mengulas.

Pelan tersebut belum lagi diumumkan namun laporan mengenai perubahan tersebut sudahpun berlegar di kalangan anggota media sejak beberapa minggu lalu.

Tiada ulasan: