Sabtu, 17 Januari 2015

Polis digesa guna Akta Hasutan


Dari kanan: Syed Hassan, Zulkifli dan Anuwal ketika penyerahan memorandum menyokong tindakan tegas Ketua Polis Negara dan PDRM terhadap penghina agama Islam, semalam. - Foto oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM Dari kanan: Syed Hassan, Zulkifli dan Anuwal ketika penyerahan memorandum menyokong tindakan tegas Ketua Polis Negara dan PDRM terhadap penghina agama Islam, semalam. - Foto oleh SHARIFUDIN ABDUL RAHIM
 
 
KUALA LUMPUR - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa Polis Diraja Malaysia (PDRM) menggunakan Akta Hasutan 1948 kepada mana-mana pihak yang menghina kesucian agama Islam.
 
Setiausaha Agungnya, Syed Hassan Syed Ali berkata, pihaknya juga berharap PDRM tidak terlepas pandang terhadap perbuatan individu atau kumpulan yang dilihat semakin berani mengeluarkan kenyataan-kenyataan menghina Islam.
 
“Banyak laporan polis telah dibuat oleh pelbagai pihak termasuk Perkasa sendiri sebelum ini, namun belum diambil tindakan dengan tegas dan menyebabkan semakin ramai berani melakukannya.
 
“Namun begitu, kami menyokong penuh tindakan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan PDRM yang telah mengambil tindakan segera terhadap Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Eric Paulsen yang mendakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mempromosikan ekstremisme setiap Jumaat," katanya selepas menyerahkan Memorandum Menyokong Tindakan Tegas Ketua Polis Negara dan PDRM, semalam.
 
Memorandum berkenaan diterima DSP Anuwal Ab Wahab dari Urusetia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat).
 
Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu turut hadir seperti Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai) dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) bagi menyatakan sokongan tindakan tegas PDRM terhadap pihak yang menghina agama Islam.
 
Syed Hassan turut melahirkan kebimbangan jika tidak diambil tindakan segera terhadap pihak yang menghina kesucian agama Islam, mereka bakal mengulangi perbuatan tersebut.
 
“Jika ini berterusan, ia akan menyebabkan ada pihak yang tidak mampu mengawal kemarahan serta mengambil tindakan sendiri dan mencetuskan ketegangan antara agama.
 
“Keadaan ini akan merugikan semua pihak terutama negara, mungkin akan ada kuasa luar yang bakal mengambil kesempatan,” katanya.
 
Sementara itu, bekas Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin berkata, orang Melayu Islam tidak pernah bertindak agresif kepada mana-mana kaum dan agama di negara ini.
 
“Bagaimana pula mereka boleh mendakwa kita ekstremis, sebenarnya mereka ini yang ekstremis.
 
“Sebagai contoh kes Azlina Jailani yang beragama Islam dan mahu menukar agama kepada agama Kristian dan sijil Baptis telah dikeluarkan oleh gereja, kita tidak mengambil tindakan terhadap gereja. Kita hanya mengambil tindakan kepada Azlina,” katanya.

Tiada ulasan: