Laporan akhbar Sin Chew Daily yang turut dipetik oleh laman kereta paultan.org mengesahkan bahawa Umno/Barisan Nasional akan mengenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ke atas petrol dan diesel.
Mengikut
laporan, pengesahan ini dibuat oleh Ishak Daud, Penolong Pengarah
Kanan Jabatan Kastam dan Eksais dalam satu taklimat GST anjuran
Universiti Tuanku Abdul Rahman (UTAR) minggu lalu.
Ini
mengesahkan sangkaan saya selama ini bahawa Umno/Barisan Nasional akan
mengenakan GST ke atas petrol dan diesel yang secara langsung bermakna
harga minyak akan dinaikkan apabila GST dilaksanakan dalam April 2015
kelak.
Pada
kadar GST 6%, harga seliter petrol selepas ini adalah RM2.27 sen. Jika
seorang pengguna biasa dianggarkan menggunakan 80 liter seminggu
bersamaan 320 liter petrol sebulan, kenaikan harga minyak akibat
pelaksanaan GST ini bermakna bil petrol satu isi rumah biasa akan
meningkat sebanyak RM50 sebulan.
Pada masa yang sama, kenaikan harga minyak ini juga akan menyebabkan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan yang lain.
Akhirnya,
bebanan bulanan setiap isi rumah akan bertambah dan saya anggarkan
sekurang-kurangnya meningkat RM100 sebulan (kenaikan terus harga minyak
dan kenaikan harga barang dan perkhidmatan yang lain) bagi setiap isi
rumah di kawasan bandar dan separa bandar.
Saya
juga telah menyatakan bahawa Dato’ Seri Najib Tun Razak akan
melaksanakan penarikan balik subsidi minyak dengan menghadkannya kepada
golongan tertentu dan sebahagian pengguna akan terpaksa membayar harga
penuh tanpa subsidi.
Saya
dimaklumkan keputusan itu telah dibuat tetapi belum dilaksanakan
sementara memuktamadkan syarikat yang dianugerahkan kontrak untuk
menaiktaraf semua pam minyak bagi tujuan ini.
Sudah
tentu apabila ini juga dilaksanakan, bebanan akibat kenaikan harga
minyak itu adalah lebih tinggi dan kenaikan harga barang dan
perkhidmatan yang menyusul juga lebih tinggi.
Pada
ketika pegawai-pegawai Jabatan Kastam dan Eksais telah mula mengesahkan
mengenai kenaikan harga minyak akibat pelaksanaan GST ini, Dato’ Seri
Najib Tun Razak masih diam seribu bahasa dan mahu berahsia.
Saya
menggesa supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak mengesahkan dengan segera
bahawa harga minyak akan naik dengan pelaksanaan GST dan berterus terang
dengan rakyat.
Pada
masa yang sama, saya seru seluruh rakyat Malaysia menzahirkan
bangkangan mereka kepada kenaikan harga minyak ini melalui laman-laman
sosial terlebih dahulu sebelum disusuli dengan protes yang lebih besar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan