MALAYSIAKINI
PAS menafikan bahawa parti itu membuat rundingan dan sedia bergabung
dengan Umno di Selangor untuk mengekalkan Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai
menteri besar.
Jurucakap parti itu menyebut, tiada rundingan seperti itu berlaku di antara PAS Selangor dan Umno di negeri itu.
Ketua penerangan Dewan Ulama PAS, Datuk Khairuddin Aman Razali membuat
kenyataan itu bagi menafikan satu laporan oleh portal The Malaysian
Insider yang mendakwa demikian.
Dalam kenyataan hari ini, Khairuddin berkata laporan yang memetik satu kenyataannya semalam merupakan fitnah ke atas dirinya.
Jelasnya, laporan tersebut mendakwa tulisannya merupakan pengakuan
bahawa keputusan dua ADUN PAS untuk menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah
Wan Ismail sebagai menteri besar baru itu menggagalkan usaha untuk
mengekalan Khalid sebagai MB melalui kerjasama dengan Umno.
Jelasnya, beliau hanya menyatakan bahawa kedudukan Khalid tidak dapat dipertahankan lagi kerana hanya mendapat sokongan 26 ADUN.
“Itu bukan pengakuan daripada saya (kerjasama dengan Umno),” katanya.
PKR betul, PAS salah
Katanya, tajuk laporan itu juga hanyalah satu “rekaan”.
Dalam tulisan bertajuk “Ke mana PAS mahu dibawa?”, Khairuddin berkata
tindakan dua ADUN PAS di Selangor itu yang menyokong Wan Azizah itu
menggagalakn sebarang usaha untuk mengekalkan Khalid sebagai MB.
Beliau turut mengkritik pergeseran yang timbul dalam PAS, dengan satu
pihak dalam parti itu didakwa cuba bekerjasama dengan Umno bagi
membentuk kerajaan perpaduan.
“Sangat menarik apabila diperhatikan bahawa sebelum ini isu Kerajaan
Perpaduang selalu dibangkitkan setiap kali muktamar hampir menjelang.
“Isu ini dibangkitkan bagi menimbulkan kesangsian kepada pihak tertentu dalam PAS khususnya presiden PAS,” katanya.
Beliau juga membangkitkan bahawa PKR tidak menjadi sasaran kritikan atas
usaha dan pertemuan yang dijalankan untuk mewujudkan “konsensus
nasional”.
Sebaliknya, PAS menjadi sasaran setiap kali isu berhubung perpaduan dibangkitkan.
Adakah kerana ia datang dari PKR maka semuanya adalah betul dan perlu
dijulang dan jika datang daripada sebahagian pimpinan PAS maka ia adalah
salah?,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan