MALAYSIAKINI
Kementerian Kesihatan hari ini mengesahkan bahawa sehingga kini tiada
kes virus Ebola dikesan di Malaysia, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Dr
Noor Hisham Abdullah.
Justeru, beliau berkata masyarakat tidak perlu panik dengan laporan
berita mengenai seorang pelajar asing dari institusi pengajian tinggi
swasta ditahan di Hospital Umum Sarawak (HUS), Kuching, kerana disyaki
dijangkiti virus itu.
Beliau menjelaskan pelajar berasal dari Zimbabwe itu, yang berada di
negara ini sejak Februari lepas, dikuarantin kerana demam, sakit tekak
dan batuk sejak Ahad lepas.
"Ini merupakan prosedur operasi standard (SOP) di mana staf hospital hanya mengambil langkah berjaga-jaga.
"Pelajar berkenaan juga tidak mempunyai sejarah perjalanan antarabangsa
dan tidak mempunyai hubungan dengan pesakit Ebola dalam tempoh 21 hari
sebelum menunjukkan gejala," katanya ketika dihubungi Bernama.
Dr Noor Hisham juga menegaskan bahawa jika benar ada kes Ebola di
Malaysia, kementerian akan menjadi orang pertama memaklumkan kepada
masyarakat dan juga memberitahu Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
Beliau memaklumkan buat masa ini Zimbabwe tidak disenaraikan sebagai negara yang dijangkiti Ebola.
Pelajar berusia 24 tahun tersebut sebelum ini telah mendapat rawatan di
sebuah hospital pakar swasta di Kuching pada Sabtu lepas sebelum dirujuk
ke HUS kerana dikhuatiri dijangkiti virus Ebola.
Penyakit Ebola yang merupakan penyakit demam berdarah yang mencatat
kadar kematian tinggi dan boleh menjangkiti manusia dan juga haiwan
primat seperti monyet.
Sejak Mac 2014, pihak WHO telah memaklumkan tentang kejadian wabak Ebola
yang melibatkan empat buah negara di Afrika Barat iaitu Guinea,
Liberia, Sierra Leone dan Nigeria.
Jumlah kes Ebola di dunia setakat 12 Sept ini ialah 4,335 termasuk 2,331 kematian.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan