WARTA UTARA
BAYAN LEPAS:
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof Rawa memberi amaran
kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak
menghala sasaran kepada Unit Amal pula setelah bertindak terhadap
Pasukan Peronda Sukarela (PPS) yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri
Pulau Pinang.
Berucap dalam majlis Makan Malam PAS Pulau Pinang di Kompleks Tabung
Haji di sini malam tadi, beliau berkata gesaan tindakan terhadap Unit
Amal suatu yang mencabar kewibawaan kerana pasukan itu berkhidmat kepada
masyarakat.
"Awas jika nak sentuh Unit Amal, sentuh kami dulu sebab pasukan
tersebut bukan pasukan ganas atau pemberontak. Ia adalah pasukan
kesayangan ramai masyarakat," tegasnya dengan nada kesal.
Beliau mempersoalkan kenapa Unit Amal diseret apabila berlaku kemelut
penahanan anggota PPS setelah Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu
Bakar mengisytiharkan PPS pasukan haram kerana tidak berdaftar dengan
Pendaftar Pertubuhan (ROS).
Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang itu berkata, Zahid sendiri pun
tahu bahawa pengorbanan anggota Unit Amal sudah terbukti ketika membantu
melaksanakan kerja kebajikan terutamanya samasa kejadian banjir di
Johor akhir tahun lalu.
"Pasukan Unit Amal telah terbukti berjasa kepada masyarakat iaitu
ketika membantu kejadian banjir dan sebagainya. Ia ditubuhkan di bawah
Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang berdaftar yakni bukan di bawah parti
haram," jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan