TUMPAT: PKR membayangkan bahawa parti itu akan mengemukakan nama calon
selain Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail bagi menggantikan Tan Sri Abdul
Khalid Ibrahim.
Menurut Naib Presiden PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin, kemungkinan itu
akan dibincangkan sekiranya rundingan dengan pihak Istana gagal.
"Mungkin ada. Pasti akan ada cadangan penyelesaian berkenaan isu ini nanti.
"Setakat ini memang tiada lagi perbincangan khusus mengenai calon baru
oleh pimpinan tertinggi (PKR), tetapi kita tidak menolak kemungkinan
akan ada perbincangan susulan jika rundingan dengan Istana menemui jalan
buntu," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Shamsul dan seorang lagi Naib Presiden, Tian Chua, adalah wakil
pemimpin tertinggi PKR yang hadir pada hari penamaan calon Pilihan Raya
Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubor yang berlangsung di Pejabat Tanah dan
Jajahan Tumpat, di sini, pagi tadi.
Shamsul berkata, Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail
juga sudah menghantar surat penjelasan kepada Istana Selangor berkenaan
sebab mereka hanya menghantar satu nama untuk diperkenan Sultan
Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sebagai Menteri Besar baharu.
"Setakat ini kita lebih kepada usaha memujuk baginda Tuanku. Kita juga
berharap dapat mengadap Tuanku, berbincang secara jelas pendirian dan
keputusan parti mengambil langkah sedemikian," katanya yang dipetik
Berita Harian Online.
Mengenai PRK DUN Pengkalan Kubor, Shamsul berkata PKR setuju memberi
laluan kepada PAS meletakkan calonnya selepas melihat peluang parti itu
untuk menang adalah lebih cerah.
Beliau juga menafikan dakwaan bahawa ketidakhadiran pemimpin tertinggi
Pakatan Rakyat terutama DAP bukan kerana mereka tidak merestui calon
PAS sebaliknya kerana bilangan pengundi Cina tidak ramai.
"Saya tidak fikir ketiadaan pemimpin tertinggi termasuk Presiden dan
Timbalan Presiden PKR serta DAP menunjukkan calon PAS tidak mendapat
restu," katanya.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad pula
menjelaskan tidak timbul soal PKR boikot calon PAS kerana keputusan itu
dipersetujui oleh Wan Azizah sendiri.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yakin peluang PAS
untuk menang pada PRK DUN Pengkalan Kubor adalah cerah selepas mengambil
kira Parlimen Tumpat yang sudah ditakluki PAS sejak beberapa penggal
lalu.
Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa pula berkata tindakan PKR memberi
laluan kepada PAS bertanding di kawasan itu adalah bukti perpaduan di
kalangan pakatan pembangkang masih utuh dan tidak berpecah seperti
digembar-gemburkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan