Oleh Wan Anis Ilyani Wan M. Azhar
SHAH ALAM: Rasa tidak puas hati terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul
Hadi Awang berhubung kemelut jawatan Menteri Besar Selangor dan prestasi
kepimpinannya diluahkan pada forum pertama anjuran Persatuan Ummah
Sejahtera Malaysia (PasMa) yang diadakan malam tadi.
Ada peserta yang menuduh prestasi PAS semakin merudum berikutan
kegagalan pemimpin itu menyelesaikan isu-isu berbangkit termasuk kemelut
jawatan nombor satu di Selangor itu.
Malah, ahli panelnya Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat Datuk Dr Mujahid
Yusof Rawa turut diajukan apakah Hadi patut menerima tindakan kerana
menentang keputusan parti dalam soal pelantikan Menteri Besar Selangor.
Mujahid juga menegaskan, biarpun PAS kini berselisih pendapat dengan
PKR dan DAP berhubung isu itu, ia terus komited dengan kerjasama bersama
Pakatan Rakyat dan tidak sesekali membuka jalan ke arah kerajaan
perpaduan dengan Umno-Barisan Nasional (BN).
"PAS nak bersama dengan Umno, anda boleh mengandaikan apa yang anda
ingin andaikan. Saya tidak boleh menyekat anda mengandai demikian.
"Saya mahu beritahu pada malam ini di depan kamera dan wartawan. Jangan
misquote (salah tulis) saya. PAS tidak ada apa-apa hasrat ataupun niat
untuk bersama dengan Umno,” katanya di forum yang bertajuk PAS Campur
Umno: Ke Mana Hala Tuju itu.
Forum itu turut menampilkan Presiden PasMa Datuk Phahrolrazi Zawawi dan
pakar Perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari sebagai ahli panel.
Kata AJK PAS Pusat itu lagi, sesiapa sahaja di dalam parti, termasuk
pemimpinnya berhak ditegur, malah menurutnya Hadi juga manusia biasa dan
tidak dianggap maksum oleh parti Islam berkenaan.
“Kami orang PAS dididik dengan satu hadis Nabi Muhammad, ‘ketaatan
manusia sesama manusia adalah ketaatan yang tidak mutlak manakala
ketaatan kepada Allah dan rasul itu adalah mutlak’,” ujarnya.
Di dalam forum itu juga, Mujahid turut memberi amaran keras kepada
ahli-ahli parti Islam itu untuk tidak membawa 'suara musuh' yakni Umno
dalam usaha memecahbelahkan PAS.
"Saya tidak menafikan bahawa hari ini Umno menggunakan taktik untuk
memecahbelahkan PAS. Saya menyatakan PAS berdiri teguh menentang usaha
untuk merosakkan PAS dari dalam.
"Pengalaman dan sejarah PAS, siapa yang merosakkan PAS atau menjadi
agen yang terkinja-kinja (untuk) bersama Umno, mereka akan mengakhiri
karier (politik) dalam PAS," kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan