Rabu, 10 September 2014

Di Perak ADUN PR disambar, di Selangor ADUN PAS disambar



Oleh SUBKY LATIF


JUSTERU yang buruk, yang huduh dan yang khianat itu dibangsakan untuk PAS saja, seolah-olah yang lain itu elok, betul dan dipercayai belaka.Kita ini semuanya manusia. Semua ada salah dan semua ada silap. Semua ada kebaikan dan semua ada kecantikan. Atas itulah kita berbeza supaya kita berkenalan antara satu sama lain.
  
Saya hendak mengelakkan daripada mengata orang lain salah dan kita saja yang benar. Cuma hendak mengenangkan nasib yang menimpa PAS yang menjadi ujian baginya.

Dulu kita membentuk kerajaan Pakatan Rakyat di Perak dengan PAS partner minoriti menjadi Menteri Besar. Kita amat rukun. Tiba-tiba tiga ADUN Pakatan Rakyat disambar BN hingga kerajaan itu tumbang. Kita semua kata tindakan BN itu khianat, merampas kuasa dan antara kita kutuk kejadian itu.
   
Sampai hari ini kita hiba atas nasib itu.
   
Dan sekarang PAS malang lagi. Dua ADUN-nya disambar oleh sekutunya sendiri iaitu PKR. Adakah kejadian di Perak itu tidak  sama dengan kejadian di Selangor, sekali pun kejadian di Selangor adalah urusan rumah tangga PR sendiri?
  
PKR tentu ada alasan kerana PAS dikira buat tidak betul padanya. Tetapi BN juga boleh beri alasan kerana sebelumnya PKR sambar ADUN-nya dari Bota. Saya tidak mahu memihak kepada BN dalam pengkhianatannya kepada kerajaan PR Perak itu.
  
Yang saya hendak kenangkan ialah tentang sambaran di Selangor. Adalah benar PAS mempertahankan TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar.
   
Dalam apa keadaan PAS menjadikan Khalid sebagai ahlinya walaupun PAS perkenan pada prestasinya memerintah Selangor. Kita percaya Khalid lebih dekat dengan PAS daripada pimpinan PKR. Tetapi mengambil Khalid daripada PKR adalah tidak beradab dan tidak etika terhadap sekutu sendiri.
  
Sekarang Khalid sudah dicerai talak tiga oleh PKR. Apakah PAS wajar ambil janda PKR itu? Tunggu idahnya empat bulan sepuluh hari. Jika takut janda berhias itu disambar BN tidak boleh kita selamatkan dia dengan demikian boleh menyelamatkan satu kerusi PR di Parlimen? Tapi Khalid bukan jenis orang jual diri sama ada menyertai parti lagi atau tidak.
   
Tetapi PKR balas apa yang BN buat pada pakatan di Perak pada PAS di Selangor. Hingga ini tiada bantahan rasmi daripada PAS atas perbuatan sekutunya dan yang ada orang bawah yang kecewa dengan kejadian itu.
  
Apa kata kalau yang disambar itu ADUN DAP? Apakah DAP boleh sabar dan boleh terima? Dan apakah DAP gembira dengan pencurian terhadap ADUN PAS itu?
  
DAP sudah banyak pengalaman ADUN dan MP-nya dicuri orang sejak ia berpolitik. Apa rasanya apabila Richard Ho, MP-nya dari Lumut tahun 1969 dicuri MCA? Itu pengalaman pertamanya. Senang-senang Richard Ho jadi menteri selepas itu. Kita simpati pada DAP.
  
Kalau PKR boleh sambar YB PAS, apakah ia tidak boleh sambar YB DAP satu hari nanti? DAP jangan jadi seperti pelepah atas seronok tengoh pelepah bawah jatuh.
  
Betapa pilu PAS atas dua ADUN-nya yang disambar, tetepi tidak bercadang untuk menuntut seperti Quraisy dalam perjajian Hudaibiyah, menuntut orang Mekah yang lari ke Madinah dipulangkan. Madinah tidak menuntut orang lari ke Mekah dipulangkan. Biarlah mereka gembira dengan orang Mekah.
  
Tetapi patutkah setelah tidak dapat MP Sabah dan Sarawak 16 September 2008, ia sambar ADUN sekutunya? Begitukah orang bersekutu, sedang yang buruk dikatakan hak PAS, dan yang lain semuanya elok?
  
Saya bukan suruh berpecah. Tetapi buatlah perkara yang tidak boleh berpecah. Iaitu semua ada silap dan semua juga ada eloknya.

Tiada ulasan: