Khamis, 12 Jun 2014

PKR bantah pelan kerajaan labur cukai rakyat


Wong Chen ajak semua wakil rakyat menentang pindaan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995. Wong Chen ajak semua wakil rakyat menentang pindaan Rang Undang-Undang Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995.


KUALA LUMPUR - PKR menentang rancangan Kementerian Kewangan untuk pelencongan wang pembayar cukai melalui pembentukan Panel Pelaburan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Pengerusi Biro Perdangan dan Pelaburannya, Wong Chen mendakwa, penubuhan panel ini akan mengubah LHDN kepada satu badan pelaburan seakan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) di bawah kawalan peribadi Menteri Kewangan.

"Tujuan Panel Pelaburan dalam LHDN ini ialah menggunakan wang pembayar cukai memberli saham, bon, hutang dan apa-apa harta lain yang difikirkan patut.

"Cadangan ini terkandung dalam rang undang-undang pindaan kepada LHDN 1995. Ia mungkin akan dibahaskan minggu depan," katanya dalam sidang media di lobi bangunan Parlimen, hari ini.

Menurutnya, PKR menentang rang undang-undang tersebut ekoran apabila dilaksanakan ia akan melemahkan demokrasi kerana akan menyembunyikan wang cukai rakyat serta mengganggu data fiskal.

"Hasil cukai bukan untuk pelaburan. Ia mesti dimasukkan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan. Panel ini melanggar amalan tersebut. Ia akan ambil kuasa pelaburan dari LHDN.

"Percubaan pelencongan cukai ini akan sebabkan gangguan kepada data fiskal dan benarkan Menteri Kewangan untuk teruskan perbelanjaan luar bajet yang tidak dipantau secara langsung oleh Parlimen," katanya.

Beliau menegaskan, penibuhan LHDN bukan untuk tujuan pelaburan kerana aktiviti itu terletak di bawah badan berkanun lain seperti Khazanah dan Permodalan Nasional Bhd (PNB).

"Ini (LHDN) bukan PNB atau Khazanah. Kalau mereka nak beli stok syarikat kawan mereka yang bermasalah, mereka boleh beli sebab Parlimen sudah benarkan," dakwanya lagi.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua wakil rakyat termasuk menteri bersatu untuk menolak rang undang-undang tersebut.

"Saya menyeru semua ahli Parlimen dari PR dan BN termasuk semua menteri untuk bersatu dan menolak rang undang-undang ini.

"Ia bakal melemahkan sistem demokrasi dan merupakan satu cubaan untuk kukuhkan kuasa Menteri Kewangan dengan memudaratkan kuasa kementerian, Parlimen dan rakyat," katanya.

Tiada ulasan: