TUMPAT – Kem selama lima hari amat bererti buat peserta muhasabah dan menginsafi diri apabila mereka masuk ke dalam kubur dibina tokoh ulama terkemuka, Allahyarham Abdul Rahman Uthman atau dikenali Tok Selehor lebih 100 tahun lalu.
Kubur dipanggil Suluk Tok Selehor di Kampung Selehor di sini, lokasi ulama tersebut bertafakur, beribadah dan mendekati diri kepada ALLAH SWT bagi menghilangkan sifat riak di dalam diri.
Meskipun berusia ratusan tahun, ia masih terpelihara kerana dijaga rapi waris Tok Selehor.
Kebanyakan 39 peserta Rakan Muda MyCamp Peringkat Daerah Tumpat yang menyertai kem itu mengakui meremang bulu roma membayangkan keadaan di dalam Suluk Tok Selehor dan sekeliling pula adalah kubur.
Peserta, Fara Fazira Che Shamsudin, 18, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Biji Wangsa berkata, banyak aktiviti disertai sempena program itu, namun pengalaman masuk ke dalam Suluk Tok Selehor paling meninggalkan kesan di hati.
“Saya bermuhasabah, rasa insaf dan ingin bertaubat atas segala dosa pernah dilakukan apabila saya berada di dalam kubur.
“Memang menyeramkan, kita rasa takut kepada ALLAH SWT dan rasa betapa kerdilnya kita sebagai hamba-Nya," katanya.
Menurutnya, jam 1 pagi peserta dikehendaki turun ke Suluk Tok Selehor dalam satu kumpulan seramai empat orang.
"Walaupun pelbagai cerita didengar mengenai keanehan tempat ini namun alhamdulillah, kami berjaya melawan perasan takut ini,” katanya.
Sementara itu, Arif Rosli, 19, dari SMK Wakaf Bharu berkata, walaupun hanya lima minit di dalam kubur gelap itu tetapi ia amat mencemaskan.
"Suasana di dalam suluk ini gelap gelita tetapi peserta perlu melawan perasaan takut dan ia begitu meninggal kesan di hati kami, pengalaman ini membuatkan saya insaf,” katanya.
Perasmian penutup program Rakan Muda MyCamp Peringkat Daerah Tumpat, anjuran Pejabat Belia dan Sukan Daerah Tumpat dengan kerjasama Majlis Belia Jajahan Tumpat disempurnakan Timbalan Ketua Umno Bahagian Tumpat, Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz.
Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan negeri, Hasan Noorhadi Awang; Pegawai Belia dan Sukan Tumpat, Wan Abdul Rahman Wan Ismail dan Yang Dipertua Majlis Belia Jajahan Tumpat, Mohd Rozi Md Taib.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan