Ahad, 8 Jun 2014

Menteri akui GST ke atas petrol, diesel belum diputus

BERNAMA


PUTRAJAYA: Kerajaan belum memutuskan sama ada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) akan dikenakan ke atas pembelian petrol dan diesel, kata Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan.

Beliau berkata kemungkinan perkara itu akan diputuskan apabila kerajaan mengumumkan mekanisma baharu rasionalisasi subsidi bahan api tidak lama lagi.

Beliau berkata perkara itu itu perlu menunggu keputusan Kabinet yang juga kini sedang memperhalusi senarai 255 barangan yang mungkin dikecualikan atau dikenakan GST serta mekanisma rasionalisasi subsidi bahan api.

"Jadi saya tidak mahu cakap sama ada minyak akan ada GST atau tidak," katanya pada sesi soal jawab di taklimat GST Media Sosial di sini semalam.

Sebelum ini, Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli dilaporkan mendakwa harga bahan api itu akan naik selepas pengenalan GST pada April tahun depan.

"Itu hanya spekulasi, tetapi akan ada skim rasionalisasi subsidi bahan api untuk memastikan subsidi yang disalurkan hanya kepada golongan yang memerlukan," katanya.

Ahmad meminta orang ramai mendapatkan maklumat tepat mengenai pelaksanaan GST dengan melayari laman web Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

GST pada kadar enam peratus akan dilaksanakan mulai 1 April tahun depan bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan sedia ada yang berkadar keseluruhan 16 peratus.

Dalam perkembangan lain, Ahmad, yang juga Ketua Penerangan Umno, berkata parti itu masih menunggu jawapan daripada surat tunjuk sebab yang dihantar kepada Yammy Samat, Selasa lalu, kerana didakwa berkempen untuk anak perempuannya, Dyana Sofya Mohd Daud, calon DAP pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan baru-baru ini.

"Surat sudah dihantar...terpulang kepada dia dan bagaimana jika dia menjawab atau tidak menjawab kita akan pertimbang lagi kerana itu prosedur yang ada dalam Umno," katanya. - Bernama

Tiada ulasan: