Oleh: Nadia Hanafi
KUALA LUMPUR : Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali
menyifatkan kerajaan terdesak apabila meluluskan lesen untuk membuka
pusat kasino kedua terbesar di Malaysia.
Katanya, keputusan itu diambil semata-mata untuk menambahkan hasil
pendapatan negara, tanpa memikirkan masalah sosial kepada masyarakakat.
“Apakah kerajaan BN begitu terdesak sehingga terpaksa meluluskan
lesen judi tambahan, semata-mata untuk meningkatkan hasil pendapatan
negara?
“Sedangkan perjudian ini banyak menimbulkan masalah sosial di
kalangan masyarakat, bukan sahaja di kalangan muslim tetapi juga orang
bukan Islam,” katanya ketika ditemui di lobi parlimen, semalam.
Baru-baru ini, majalah Business Times In Malaysia melaporkan, pihak
berkuasa meluluskan pelan pembangunan pusat kasino tersebut di Berjaya
Resort, Berjaya Hills Pahang.
Ia dibangunkan oleh syarikat Berjaya Corperations milik Tan Sri
Vincent Tan yang mempunyai pegangan terbesar dalam syarikat berkenaan.
Pusat kasino ini akan menjadi pusat perjudian kedua terbesar selepas
pusat kasino di Genting Highlands yang dimiliki oleh Genting Berhad.
Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata, perkara ini ditentang
Pakatan Rakyat, termasuk DAP apabila kerajaan meluluskan lesen judi bola
sepak satu ketika dahulu.
“Perjudian ini memberi impak negatif dalam masyarakat dan kerajaan
tidak harus melihat soal meningkatkan pendapatan negara sahaja, tetapi
perlu meneliti impak negatif dalam masyarakat,” ujarnya.
Ketika ditanya apakah kelulusan membina kasino berkenaan menunjukkan
amalan kronisme, Azmin berkata, umum mengetahui hubungan Vincent Tan
dengan pemerintah dalam banyak perkara.
“Ini adalah isu yang dibangkitkan iaitu soal kapital kronisme yang
makin menular dalam BN, ia sebenarnya tidak akan mengembangkan
pertumbuhan ekonomi selagi amalan ini diteruskan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan