Khamis, 5 Jun 2014

Kes buli di sekolah: KPWKM harus bertindak


Kes buli di sekolah: KPWKM harus bertindak


SHAH ALAM - Pemuda Pas Wilayah Persekutuan menyarankan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menyediakan suatu mekanisme memulihkan institusi keluarga bagi membendung gejala gengsterisme yang semakin menular di kalangan remaja.

Timbalan Ketuanya, Nurul Islam Mohamed Yusoff berkata, kesibukan ibu bapa menumpukan masa kepada pekerjaan merupakan salah satu punca peningkatan kes buli di kalangan pelajar sekolah di negara ini.

“Kebelakangan ini kita dikejutkan dengan penyebaran video yang memaparkan aksi ganas pergaduhan melibatkan pelajar.

“Semua pihak, termasuk kerajaan dan pihak kementerian harus mainkan tanggungjawab dan peranan dalam menangani permasalahan ini, jika masing-masing menunjukkan sikap tidak ambil peduli, ianya akan memberi kesan terhadap institusi kekeluarga seterusnya memecahbelahkan perpaduan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tegasnya lagi,  pihak kementerian dan kerajaan perlu merangka pelan tindakan menyeluruh bagi membantu para ibu bapa yang mempunyai ramai tanggungan serta berpendapatan pertengahan dan rendah supaya dapat meringankan beban mereka.

Menerusi cara itu katanya, ibu bapa boleh memberi lebih tumpuan dan perhatian kepada pembangunan keluarga.

Baru-baru ini, negara digemparkan dengan beberapa penyebaran video remaja perempuan yang masih berpakaian sekolah ditumbuk, dipukul dan dibelasah oleh remaja perempuan lain, dipercayai oleh rakan sekolahnya sendiri.

Penyebaran video berunsur keganasan itu nyata mengundang kemarahan pengguna-pengguna laman sosial di negara ini.

“Merujuk kepada Laporan Tekad Integriti 2009-2013, laporan itu mendedahkan antara punca menyebabkan para pelajar melepaskan tekanan di sekolah dengan tindakan vandelisme dan aksi gengsterisme ialah kerana sikap ibu bapa yang tidak ambil berat terhadap hal ehwal kebajikan anak-anak.

“Selain itu, ia juga berpunca kerana ibu bapa kurang memberi pendidikan agama dan moral kepada anak-anak sehingga memberi ruang kepada mereka untuk melakukan kesalahan tanpa ditegur atau dimarahi,” tambah Nurul Islam lagi.

Tiada ulasan: