MALAYSIAKINI
Majlis Raja-Raja Johor menjelaskan bahawa peruntukan dalam Enakmen
Lembaga Perumahan dan Hartanah Johor 2014 tidak memberi kuasa mutlak
kepada Sultan Johor.
Satu kenyataan yang dikeluarkan oleh presiden Majlis Raja-Raja Johor
menyebut ia juga bukan satu bentuk campur tangan Istana dalam bidang
pentadbiran negeri.
Satu kenyataan yang dikeluarkan jemaah tersebut petang ini menyebut,
enakmen tersebut perlu dibaca bersama dengan Perlembagaan Johor 1895,
yang menetapkan pemisahan kuasa pentadbiran.
"Peruntukan dalam rang undang-undang ini tidak bermaksud untuk
menyerahkan kuasa mutlak kepada ketua negeri, oleh itu tidak boleh
dianggap sebagai campur tangan monarki dalam pengurusan negeri.
"Ia juga tidak melanggar konsep raja berperlembagaan," kenyataan itu dipetik.
Kenyataan tersebut menggariskan tiga peruntukan utama dalam bahagian
kedua Perlembagaan Johor – Perkara 2(1), Perkara 7(1) dan Perkara 7(3).
"Perkara 2(1) menetapkan kuasa eksekutif negeri tertakluk kepada raja
namun fungsi eksekutif boleh diberikan kepada orang atau pihak berkuasa
lain.
"Perkara 7(1) pula secara khusus menyatakan bahawa dalam pelaksanaan
fungsinya mengikut perlembagaan, raja boleh bertindak mengikut nasihat
majlis mesyuarat kerajaan negeri atau anggota yang bertindak mengkur
kuasa majlis.
"Peruntukan itu seterusnya menetapkan bahawa sultan boleh diberikan maklumat mengenai kerajaan atas permintaan."
Kenyataan dalam bahasa Inggeris itu dikeluarkan oleh presiden Majlis Raja-Raja Johor, Datuk Abdul Rahim Ramli hari ini.
Ia menjawab perdebatan yang timbul – sama ada institusi diraja boleh diberikan kuasa eksekutif.
Rang undang-undang tersebut mengandungi peruntukan yang memberi kuasa
kepada sultan untuk melantik anggota lembaga, menentukan imbuhan,
menyelia akaun lembaga dan juga membubarkan lembaga berkenaan.
Ia memberi tekanan kepada Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Khaled
Nordin, termasuk dari kem BN, agar membuat pindaan kepada rang
undang-undang tersebut.
Walau dengan pindaan terbabit, Khaled menegaskan bahawa kerajaan negeri
tidak berhasrat untuk memberi kuasa eksekutif kepada sultan kerana rang
undang-undang tersebut perlu dibaca bersama dengan perlembagaan negeri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan