OLEH HASBULLAH AWANG CHIK
Masih ramai ahli keluarga penumpang dan anak kapal MH370 mendesak untuk mendapatkan bukti pesawat itu benar-benar terhempas di Lautan Hindi. Gambar fail The Malaysian Insider.
Keluarga penumpang Malaysia Airlines (MAS) MH370 tidak wajar meminta kerajaan Malaysia untuk memberi penerangan lanjut berhubung data mentah yang dikeluarkan kerana ia sememangnya maklumat yang kompleks, kata Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Pemangku menteri pengangkutan itu berkata, biarlah pakar yang menganalisis data sedemikian kerana kerajaan Malaysia sudah pun menunaikan janjinya untuk mengeluarkan data mentah tersebut.
"Itu sebabnya saya katakan data mentah kalau kita bekalkan pun terlalu kompleks. Biarlah pakar yang membuat analisis data sedia ada.
"Bila kita bekalkan data yang ada, akhirnya dia hendak kepakaran kita juga untuk menerangkan. Kalau macam itu kerjanya, tak selesai kita," katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan, hari ini.
Hujung bulan lalu, keluarga penumpang pesawat MH370 menuduh Malaysia menyembunyikan data satelit Inmarsat yang penting dan data yang dikeluarkan juga tidak lengkap.
Mereka mendakwa data dikeluarkan tidak sesekali membuktikan MH370 yang hilang dalam perjalanan ke Beijing itu terhempas di Lautan Hindi.
"Kami mahu laporan lengkap yang mengandungi semua informasi mengenai bagaimana terbentuknya teori daripada sudut pesawat, sehingga kami boleh menjemput pakar memberikan pandangan bebas mereka," kata jurucakap keluarga penumpang MH370 dari China, Steve Wang kepada AFP.
Hishammuddin berkata, kementeriannya tidak sesekali mempunyai sebarang agenda yang mahu dilindungi tetapi sebarang pendedahan tidak harus menggangu kerja pencarian di Lautan Hindi.
Katanya, permintaan keluarga penumpang mahu pun media antarabangsa tidak boleh dituruti 100% kerana selama ini spekulasi yang diwujudkan tidak berasas.
"Mana yang kita rasa tidak menjejaskan pencarian dan emosi keluarga yang terlibat, saya tidak teragak-agak untuk keluarkan maklumat. Bila sudah keluarkan, janganlah ubah pendirian dan minta yang lain kerana ia boleh menjejaskan operasi yang kita aturkan secara terperinci.
"Ada had untuk politikkan sesuatu. Ada had untuk diiktiraf dan cuba berspekulasi tentang masa lalu yang sudah dibuktikan tidak benar. Apabila tidak benar, tidak adil untuk tukar pendirian kepada benda lain,” katanya.
Ketika ditanya media, adakah Boeing dan Rolls Royce memberikan panduan dalam kerja mencari pesawat MH370, Hishammuddin berkata, ia sememangnya ada kerana pesawat tersebut adalah milik mereka.
“Mereka ada (beri kerjasama). Jawatankuasa Teknikal di bawah Datuk Abdul Aziz Kaprawi ada berhubung dengan semua pakar termasuk Rolls Royce, Inmarsat dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
“Saya menjangkakan akan tiba masanya, mereka akan lebih terbuka dengan kedudukan mereka kerana itu pesawat, enjin dan satelit mereka,” katanya. Hishammuddin berkata, kerja pencarian MH370 selama ini dipandu oleh nasihat dua badan pengeluar itu dan mereka pastinya akan memberikan penjelasan lanjut.
“Kami mensasarkan pencarian dan rancangan masa depan berdasarkan nasihat mereka. Tidak adil untuk meletakkan beban sepenuhnya kepada Malaysia, China dan Australia.
“Ini yang dikatakan DCA, data mentah tidak beri makna apa-apa sehingga ia dianalisis dan diberikan panduan. Akan tiba masanya mereka mempertahankan nasihat yang diberikan mereka kepada kami,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan