Selasa, 6 Mei 2014

'Wajib pasang CCTV di semua kem PLKN'

MALAYSIAKINI


 


Semua kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) disyaratkan memasang kamera litar tertutup (CCTV) sebagai mematuhi syarat dalam jadual pematuhan 2014 untuk kerja-kerja menaik taraf kem berkenaan.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata pemasangan CCTV itu adalah sebagai langkah keselamatan dan ia perlu dipasang di pintu masuk bilik kediaman, dewan makan dan beberapa kawasan yang telah ditentukan.

Katanya setiap pengusaha kem perlu melakukan semua kerja menaik taraf kemudahan di kem masing-masing sebelum pertengahan 2015. Setakat ini, terdapat 12 kem dari Pahang, Negeri Sembilan dan Sabah telah mengemukakan pelan susun atur menaik taraf kem latihan.

"Tempoh yang diberikan kepada pengusaha untuk melakukan kerja menaik taraf telah bermula Januari tahun ini dan semua pelan susun atur bagi kerja menaik  taraf perlu mendapat kelulusan Kementerian Pertahanan," katanya dalam sidang media selepas mengadakan lawatan di PLKN Kem Syruz, Machang Bubuk di Bukit Mertajam hari ini.

Abdul Hadi berkata, pengusaha kem yang gagal melakukan pengubahsuaian akan berdepan tindakan pembatalan kontrak," katanya sambil menambah kos perlu ditanggung pengusaha.

Beliau berkata antara perkara utama yang perlu dibangunkan semula ialah  menaik taraf dewan makan, tandas yang mencukupi dan pelebaran serta pembesaran kawasan padang kawad dan kemudahan sukan bagi bola jaring, bola keranjang, bola tampar, sepak takraw, bola sepak dan futsal.

"Kemudahan surau juga perlu dibangunkan, lantainya mestilah jubin dan kemudahan tempat berwuduk yang mencukupi. Selain itu perlu ada kawasan pejalan kaki berbumbung di antara bilik kuliah," katanya.

Katanya, pengusaha kem juga perlu menyediakan bangunan untuk jurulatih seperti bilik guru untuk mereka melakukan aktiviti serta menaik taraf bilik kediaman pelatih.

"Kesemua  bangunan mestilah konkrit sepenuhnya dan bukan separuh simen," katanya.

Setakat ini terdapat 80 kem PLKN yang beroperasi di seluruh negara dengan 31,000 pelatih. - Bernama

Tiada ulasan: