Isnin, 19 Mei 2014

Umno - BN perlu kaji sebab Melayu profesional masuk DAP, kata wartawan veteran

OLEH JAMILAH KAMARUDIN


BN perlu berhenti hentam Dyana Sofya Mohd Daud, kaji kenapa anak muda terpelajar sertai DAP, kata Datuk A Kadir Jasin. Gambar fail.BN perlu berhenti hentam Dyana Sofya Mohd Daud, kaji kenapa anak muda terpelajar sertai DAP, kata Datuk A Kadir Jasin. Gambar fail.



























Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji trend anak Melayu muda dan berpendidikan tinggi menyertai parti DAP daripada terus menghentam calon Pakatan Rakyat (PR) Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud, kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan New Straits Times Press.

Datuk A Kadir Jasin berkata, pemimpin BN sebaliknya perlu cermin diri dan menilai semula punca anak muda Melayu kini semakin tertarik menyertai DAP.

"Ketika penulis blog upahan dan tukang kempen BN sibuk menghabiskan masa memfitnah Dyana, mereka sepatutnya memahami kenapa perkara sebegini boleh terjadi. Kenapa Melayu terpelajar menyertai DAP?

"Daripada menutup kelemahan dengan menyalahkan orang lain, mereka perlu nilai semula diri mereka dan tidak sepatutnya menghina rakyat," katanya dalam tulisan di blognya hari ini.

Kadir tidak menolak kemungkinan wujudnya faktor daya tarikan kuat yang menyebabkan anak muda Melayu seperti Dyana yang mempunyai latar belakang keluarga Umno berminat menyertai DAP secara aktif.

"Sebelum ini bekas menteri Umno menyatakan program latihan DAP menarik minat ramai peserta Melayu muda dan kebanyakannya berpendidikan tinggi," katanya.

Beliau merujuk kepada kenyataan Ketua Wanita Umno yang juga bekas Menteri Wanita, Keluarga, dan Pembangunan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang memperkecilkan Dyana kerana tidak menyedari dirinya dijadikan boneka DAP semata-mata untuk berkuasa.

Dyana bagaimanapun menyelar kenyataan Shahrizat dan mengaitkannya sebagai contoh kegagalan Wanita Umno memartabatkan golongan wanita dalam politik.

Dyana yang menyertai DAP sejak 2011 menarik perhatian dunia politik tempatan selepas dinamakan sebagai calon DAP bagi PRK Teluk Intan ekoran kematian penyandang Seah Leong Peng pada 1 Mei kerana kanser.

Gadis berumur 27 tahun itu bakal menjadi wanita Melayu pertama memegang kerusi Parlimen DAP jika menang dalam pilihan raya kecil ini.

"Memiliki raut wajah yang muda dan cantik mungkin memberi kelebihan pada Dyana.

"Tetapi pasti ada sesuatu yang lebih daripada itu. Secara hakikatnya, pada saya tarikan utama adalah beliau sebagai perempuan muda Melayu mewakili parti pembangkang yang didominasi kaum Cina," katanya.

Wartawan veteran itu turut memuji Gerakan kerana tidak gentar berdepan dengan DAP di kerusi Teluk Intan, berbeza dengan tindakan MCA di Bukit Gelugor.

"Tahniah Gerakan kerana tidak lari daripada tanggungjawab dan tidak memalukan maruah sebagai parti komponen yang lama dalam BN.

"Encik Mah (Siew Keong), saya puji keberanian kamu. Itulah anak jantan. Tidak seperti MCA yang kuat merajuk, kamu tidak mengecewakan penyokong sendiri," katanya merujuk kepada Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong.

Mah pernah memenangi kerusi Teluk Intan semasa Pilihan Raya Umum (PRU) 1999 dan 2004 naamun kalah dengan calon DAP, M Manogaran pada 2008 dengan beza 1,470 undi dan Seah pada 2008 dengan beza 7,313 undi.

Tiada ulasan: