Ahad, 25 Mei 2014

Telefon digodam, Khalid dimarahi mesej hina Melayu

HARAKAHDAILY 


KUALA LUMPUR: Perbuatan pihak terdesak menggodam telefon bimbit milik Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad bukan sahaja percubaan melagakan PAS dan DAP tetapi turut memainkan sentimen perkauman melalui mesej yang dihantar kepada orang ramai.

Selangor Kini melaporkan, Khalid hanya menyedari telefon bimbitnya digodam apabila menerima banyak sistem mesej ringkas (SMS) dan dihubungi pihak yang tidak dikenali bagi bertanyakan mesej yang dihantar melalui nombor telefonnya.

“Tiba-tiba saya menerima banyak mesej, ada lebih kurang 30 mesej dan panggilan telefon bertanyakan hal ini. Ada juga yang marah sebab mesej itu.

“Mereka kata mesej yang diterima itu menggunakan perkataan kesat seperti bangsat, Melayu bodoh dan sebagainya. Bukan sahaja melagakan PAS dan DAP, bahkan hubungan antara kaum Melayu dan Cina.

“Saya terkejut, tetapi selepas mendapat tahu telefon bimbit saya digodam dan menerangkan kepada pemanggil baru mereka dan semua yang menghantar sms lega,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.

Katanya, beliau sudah membuat laporan di pejabat pengendali talian telefon mudah alih, Maxis dan Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam, petang semalam (23 Mei) berhubung perkara itu bagi tindakkan pihak berkuasa.

“Saya rasa perkara ini ada hubung kait dengan dua Pilihan Raya Kecil (PRK) yang sedang berlangsung sekarang. Tujuannya untuk menimbulkan kononnnya saya mahu pengundi menolak DAP dan keduanya mahu menimbulkan kemarahan orang Melayu terhadap Pakatan Rakyat (PR), bahkan kejadian sama pernah berlaku di PRK Kajang,” katanya.

Khalid turut menggesa pihak polis mengambil tindakan segera terhadap pihak terdesak demi kepentingan politik itu kerana membabitkan keharmonian antara kaum di negara ini.

Sebelum ini, perkara sama turut dialami barisan pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi tujuan menjejaskan sokongan rakyat terhadap PR dalam PRK Kajang.

Bagaimanapun, tindakan itu tidak memberi kesan apabila rakyat negara ini mampu memperoleh maklumat dengan melayari internet bagi mengetahui keadaan sebenar.

Tiada ulasan: