Kerajaan Selangor tidak pernah menolak usaha Putrajaya melaksanakan
pembinaan projek Loji Rawatan Air Langat 2 bagi meningkatkan tahap
perkhidmatan bekalan air bersih kepada rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia dan Sukan, Infrastruktur dan
Kemudahan Awam negeri Dr Ahmad Yunus Hairi berkata sebaliknya kerajaan
negeri hanya menangguhkan projek tersebut bagi memberikan tumpuan kepada
penstrukturan industri perkhidmatan air yang dirancangkan sebelum ini.
"Kerajaan negeri turut menafikan kelewatan pelaksanaan Langat 2 antara
punca masalah kekurangan bekalan air yang berlaku di negeri ini,
sebaliknya masalah ini berpunca daripada faktor cuaca," katanya dalam
sidang media di Shah Alam hari ini.
Selepas tertangguh sejak sekian lama, pembinaan projek Langat 2
dimulakan selepas kerajaan negeri Selangor memberi kebenaran merancang
pada 26 Februari lepas.
Langat 2 mampu membekalkan air terawat sehingga 1,130 juta liter sehari kepada pengguna di Lembah Klang sehingga 2025.
Bagaimanapun Ahmad Yunus berkata Langat 2 bukan penyelesaian sepenuhnya
terhadap masalah kekurangan air kerana loji itu kelak hanya mampu
membekalkan air kepada sebahagian pengguna sahaja.
Mengulas perkembangan paras air di empangan Sungai Selangor, beliau
berkata setakat ini paras air di empangan itu menunjukkan peningkatan
iaitu mencatatkan kadar 40.8% berbanding sebelum ini 40%.
Katanya, hujan yang dijangka berlaku sehingga akhir Mei ini secara
tidak langsung akan membantu meningkatkan paras air di empangan
tersebut.
"Selain hujan, kita juga melaksanakan perancangan sebelum ini iaitu
menggunakan air kolam yang dipamkan ke empangan Sungai Selangor untuk
meningkatkan paras air sungai," katanya. – Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan